Sidang DUN Kelantan berlangsung selama 1 jam – Speaker

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini berlangsung kira-kira sejam bermula jam 9 pagi.

Persidangan DUN diringkaskan mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan dunia sekarang.

Speaker DUN Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, persidangan bermula dengan bacaan doa, kemudian diikuti titah perasmian Sultan Muhammad V yang dibaca Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Advertisement

Katanya tiada perbahasan titah Diraja tersebut pada persidangan Dun hari ini.

“Perbahasan titah Tuanku akan dibuat pada persidangan DUN akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan dua rang undang-undang dibentang pada persidangan DUN terbabit iaitu berkaitan pindaan Akta Taman Negara 1938 dan Kerabat Bergelar dan Dato’ Bergelar.

Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir kecuali Dato’ Seri Mustapa Mohamed (Bersatu-Ayer Lanas) yang memohon bercuti kerana terpaksa menghadiri program lain.

Kedudukan kerusi ADUN dalam DUN juga dijarak kepada 1 meter sebagai mematuhi jarak sosial seperti yang ditetapkan kerajaan berikutan wabak Covid-19 sekarang.- HARAKAHDAILY 13/4/2020