Bersalam dilarang, bergunting tak apa

PAYAH memikirkan logik Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. Tidak susah bagi semua nasihat tidak bersalam dengan sesiapa kerana `body konteks’ boleh dijangkiti wabak Covid-19. Kerana itu setiap orang hendaklah menjarakkan dirinya satu meter dengan orang lain kecuali dengan rakan-rakan sekerja yang dipastikan bersih kontek Covidnya.

Advertisement

Bahkan rakan sekerja itu sendiri tidak dapat dipercayai, kerana kita tidak tahu dan dia pun tidak tahu dalam perjalanannya ke pejabat dia sudah ditenggek Covid.

Kerana memahami logik koronavirus itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja, maka umat Islam menerima nasihat/arahan tidak Jumaat, solat di rumah sahaja sepanjang tempoh PKP, tidak kira sebulan atau dua bulan. Atas peka wabak itu rakyat sedia menutup masjid dan surau bulan Ramadhan ini.

Akan tetapi payah hendak memikir logik kerajaan iaitu sang-sang menteri melonggar larangan bergunting rambut. Tukang gunting lazimnya bukan sekadar bersentuhan dengan pelanggan, bahkan perlu memegang dan menyentuh pelanggan.

Mungkin dengan alat pencegahan yang terkini, tukang gunting bertopeng, tapak tangan bersarung getah, dan seluruh badan berbaju PPE macam pekerja kesihatan menghadapi orang yang disaring.

Apakah seluruh tukang gunting ada persiapan pencegahan? Dan adakah selesa tukang gunting dan pelanggan berada dalam khidmat seperti itu? Bahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah pun tidak nampak logik melonggarkan operasi kedai gunting itu.

Apa pun khidmat kedai gunting dan suasana di kedai dan masa menunggu giliran, di mana pelanggan hendak menanti, adalah lebih mudah mendedahkan jangkitan itu.

Kerajaan mungkin tidak bodoh sangat. Mana-mana tukang gunting minta permohonan lalu dibenarkan saja. Sang menteri berkata, syarat ketat dikenakan. Mesti ia diluluskan oleh MITI dahulu. MITI pun dalam masa separuh darurat ini tentu banyak kerja. Bila tambah pula dengan kerja tambahan, membenarkan tukang gunting beroperasi, nescaya menambah kerja mereka.

Maka adalah lebih baik dalam cuti rakyat semasa tempoh wabak Covid berterusan, maka biarlah tukang gunting itu cuti sama. Jenis perkhidmatan lain tak tahu buat apa juga dalam masa berkurung di rumah, maka biarlah mereka cuti juga.

Apakah kita agak tempoh berkurung ini memakan masa tiga bulan? Mungkin paling lama tiga bulan. Apakah orang ramai tidak tahan nak bergunting selama tiga bulan? Atau apakah kanak-kanak tidak sekolah tiga bulan mesti digunting juga rambut?

Murid-murid semuanya bergunting kerana guru-guru mengenakan disiplin mereka mesti berambut kemas. Pegawai pun dikhendaki berkepala kemas ke pejabat.

Jika dalam masa tiga bulan semua laki-laki berambut panjang maka ia tidaklah suatu yang menyulitkan. Adalah lebih baik mereka berambut penjang dari mendedahkan rakyat kepada jangktian.

Ketua Polis Negara pun boleh memahami jika dalam dua bulan semua berambut panjang misai janggut tidak terurus kerana semua kedai gunting tutup. Bagi polis dan askar yang bekerja, mungkin polis dan askar boleh mengadakan pasukan tukang gunting bagi mengunting pasukannya, tetapi orang lain yang duduk sahaja di rumah, biarlah mereka berambut panjang selama berkurung ini.

Ia lebih selamat dari risiko membebaskan tukang gunting beroperasi. Lebih logik semua berambut panjang dari risiko Covid berkembang melalui kedai gunting. Ia adalah keputusan paling tidak logik di bawah kerajaan Muhyiddin Yassin.