Kegemilangan bangsa Mamalik

MAMALIK memiliki fasa kegemilangannya di bawah beberapa kesultanan. Bermula di zaman Sultan Imaduddin Az-Zinki (Kerajaan Az-Zinkiyah) selepas terpecahnya Bani Saljuk kepada Atabek. Kemudian beralih pula ke era Ayyubiah di bawah pemerintahan Salahuddin Al-Ayyubi dan beberapa fasa lagi yang kita akan perincikan.

(i) Era Sultan Imaduddin (477H – 541H) dan Nuruddin Az Zinki (511H – 569H)

Dilahirkan pada tahun 477H ketika bapanya menjadi di antara pemimpin utama Sultan Malik Shah, Bani Saljuk. Mendapat didikan kepemimpinan sejak kecil oleh ayahnya dan dilihat berketerampilan untuk menggantikannya kelak, tetapi ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru 10 tahun. Akan tetapi Az-Zinki tetap terus menyinar. Zinki menjadi Panglima Kanan pada era Al-Barsoqi (di Iraq), seterusnya diangkat menjadi Hakim di Basrah dan Kota Wasit (Wasit Wetland).

Beliau juga memainkan peranan penting mendamaikan perang saudara antara Sultan Mahmud dan Sultan Mustarsyid pada tahun 519H.Tanggal 521H merupakan detik bersejarah buat Zinki yang ditabalkan menjadi Amir Mosul seterusnya membentuk Kerajaan Az-Zinkiah. Sultan Az-Zinki juga berusaha keras menyatukan semula wilayah Syam yang berpecah-pecah kesan perang saudara sesama mereka dan serangan pihak Salib.

Advertisement

Diriwayatkan bahawa Sultan Az-Zinki dibunuh pada bulan Rabiul Awwal tahun 541H. Beliau meninggalkan zuriatnya yang soleh lagi adil iaitu Nuruddin Mahmud Az-Zinki. Sebagaimana ayahnya, Nuruddin Az-Zinki juga dikenali sebagai Sultan yang adil hingga ada ulamak yang menyebutkan bahawa pemimpin Islam yang adil selepas Umar bin Abdul Aziz adalah Sultan Nuruddin Mahmud Az-Zinki. [Daulah Az-Zinkiah oleh Dr Ali As Solabi dan Kisah Tatar oleh Dr Raghib As Sarjani]

(ii) Era Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (532H – 589H)

Nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub, dilahirkan di wilayah Tikrit (Iraq), berasal daripada keturunan bangsa Kurdi, hari ini dikenali sebagai Kurdistan yang pada waktu itu berada di persempadanan wilayah Arzabeijan. Menurut Ibnu Athir keluarga Salahuddin Al-Ayyubi merupakan bangsa Kurdi yang mulia disebabkan tidak ada yang menjadi hamba dalam kalangan mereka. Dinisbahkan kepada Ayyubi iaitu ayahnya Ayyub bin Syazi. Menjadi pengasas bagi Kerajaan Al-Ayyubiah. [Salahuddin Al-Ayyubi oleh Dr Ali As Solabi]

Mempunyai sejarah yang panjang dan rencam dengan Kerajaan Fathimiah, juga dengan tentera Salib. Kegemilangan beliau adalah dengan mengembalikan bumi Palestin ke tangan umat Islam, memerangi fahaman Syiah melalui Kerajaan Fathimiah dan seterusnya mendepani tentera Salib. Salahuddin Al-Ayyubi masuk ke bumi Palestin pada hari Jumaat tanggal 27 Rejab 583H.

(iii) Era Sultan Najmuddin Ayyub Soleh (603H – 647H)

Turut dikenali sebagai Sultan Soleh yang begitu akrab dengan pengikut-pengikutnya hingga dipanggil dengan gelaran Ustaz, bukan lagi Sultan. Sultan Soleh yang juga berketurunan Ayyubi mengasaskan Kerajaan Mamalik Al-Bahriah (Assolihiah). Beliau mengkaderkan golongan Mamalik sejak dari umur mereka kanak-kanak dengan didikan agama yang baik seterusnya mengajarkan mereka kemahiran berperang yang kemas.

Pada zaman beliaulah berlakunya peperangan Salib yang masyhur dengan nama peperangan Mansurah (647H) selepas wilayah Dumyat (Damietta) berjaya ditewaskan. Pada waktu tercetusnya peperangan ini Sultan Soleh sudah jatuh gering dan akhirnya meninggal dunia tanpa diketahui oleh tenteranya supaya mengelakkan hilangnya motivasi berperang. Sebaliknya digalas tugas tersebut oleh isterinya Syajaratu Dur hingga umat Islam beroleh kemenangan. Di tangan Sultan Soleh jugalah lahirnya insan yang berkaliber dan berjaya mengembalikan maruah umat Islam dari pihak Mongol iaitu Saifuddin Qutuz. [Kisah Tatar oleh Dr Raghib As Sarjani]

(iv) Era Sultan Saifuddin Qutuz (658H/1260M)

Nama sebenarnya adalah Mahmud bin Mamduh, tidak dipastikan tarikh sebenar kelahirannya. Akan tetapi beliau merupakan keturunan Sultan Muhammad Al-Khawarizmi Shah daripada Kerajaan Al-Khwarizmi iaitu wilayah yang paling awal diceroboh oleh tentera Mongol. Serangan yang terlalu dahsyat itu menyebabkan seluruh keluarganya dibunuh dan dia dijual di pasar An-Nakhasah hingga akhirnya telah dibeli oleh Sultan Soleh lalu dikenali sebagai bangsa Mamalik.

Sejak dari awal beliau menjadi orang kepercayaan Sultan Soleh, selepas kemangkatannya berlaku pergolakan dalaman hingga menyebabkan Mamalik Bahriah terpecah dua memunculkan Kerajaan Mamalik Al-Muizziah. Krisis ini berlanjutan hinggalah Mongol telah pun menjarah hampir kesemua wilayah Islam kecuali bumi Mesir dan Hijaz. Takdir Allah Ta`ala berkat keikhlasan, kesungguhan dan keyakinan Qutuz, dengan izinNya Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan berjaya ditumpaskan pada tahun 658H dalam peperangan Ain Jalut (Palestin).

(v) Era Sultan Zhahir Baybars (620H -676H/1223M – 1277M)

Beliau juga merupakan anak didik kepada Sultan Soleh, seterusnya menjadi orang kanan Qutuz ketika menewaskan Mongol. Selepas kemangkatan Sultan Qutuz, beliau menerajui kepimpinan di bumi Syam dan menjadi tunjang utama memerangi pihak tentera Salib.

Pengajaran dan kesimpulan

(i) Tentera yang baik adalah hasil daripada pemimpin yang baik. Mamalik dalam lipatan sejarah dipergunakan oleh beberapa pemimpin untuk merebut jawatan dan mengukuhkan kedudukan individu, bukan untuk agama mahupun umat. Hingga menyebabkan mereka juga terlibat sama dalam usaha merebut dan merampas jawatan. Berbeza apabila mereka dipimpin oleh insan yang taat pada agama dan mengutamakan rakyat, mereka menjadi benteng utama yang ampuh.

(ii) Kehebatan dan ketangkasan tentera Mamalik turut diakui oleh pihak Barat. Antaranya menyebutkan:

Carl Brockelman, seorang Sarjana Barat dari German menyebutkan:

“Muncullah generasi berikutnya pada era Baybars (merujuk kepada salah seorang Panglima tentera Mamalik didikan Sultan Soleh) yang mirip dengan generasi Khulafak Ar-Rashidin dan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang merupakan generasi emas dalam Islam.”

Joinville menyebutkan:

“Bahawa Poitiers (Count of Poitiers), Flandria (Count of Flanders) dan beberapa pasukan Salib sering berutus surat dengan Raja Louis memberi pesan agar meminimakan pergerakan bala tenteranya kerana mereka amat sukar menjangkakan serangan oleh pihak Mamalik.”

[Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol oleh Dr Ali As Solabi m/s 453]

Sejarawan juga ada menyebutkan:

“Aku bersumpah, mendengar teriakan orang-orang Turki itu umpama suara guruh yang menggetarkan, aku melihat hunusan pedang mereka umpama cahaya kilat yang menyambar. Pada hari itu mereka telah menghidupkan Islam kembali bangkit dengan membawa singa-singa dari Turki yang jantungnya diperbuat daripada besi. Tidak memerlukan masa yang banyak, orang-orang Perancis sudah bertempiaran lari.”

[Bangkit dan Runtuhnya bangsa Mongol]

(iii) Meneliti jatuh bangun umat Islam terdahulu mengingatkan kepada kita akan kepentingan sentiasa ikhlas dan meletakkan keutamaan Islam di hadapan. Berbanding mempunyai hasrat peribadi lalu menjadikan jalan agama mahupun kedudukan sebagai peluang untuk memposisikan diri ke jawatan tertentu, bukannya dengan tujuan untuk membantu agama.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 14/4/2020