PKP Fasa 3: Tindakan lebih tegas – Menteri

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga akan bermula esok bakal menyaksikan kerajaan akan mengambil tindakan yang lebih tegas supaya dapat menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan yang lebih keras dan tegas bakal diambil.

Kata beliau ini kerana rakyat seolah-olah tidak peduli dan tidak takut kepada undang-undang yang ada pada hari ini.

“Mungkin RM1,000 tidak dianggap begitu tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar kepada PKP.

Beliau berkata demikian, kerana terdapat 1,374 individu telah ditahan semalam kerana ingkar PKP, merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu telah dijamin polis.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 427 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan mengingkari PKP.

“Oleh itu, kita telah bersetuju bahawa pihak polis mulai besok tidak lagi memberikan tumpuan kepada kompaun. Mulai besok sesiapa yang ditahan akan direman ataupun dihadapkan mahkamah,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata mahkamah yang akan memutuskan setiap tindakan yang bakal diambil, kerana berdasarkan Sesyen 24 Akta 342 bahawa mahkamah boleh menghukum mereka tidak lebih daripada 2 tahun penjara dan kesalahan seterusnya 5 tahun penjara.

“Jadi kita menganggap biarlah selepas ini mahkamah yang menentukan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap mereka yang ingkar ini,” tambah beliau.

Ujar beliau, keputusan untuk menjadikan Malaysia bebas dari Covid-19 adalah terletak di tangan rakyat Malaysia.

Justeru itu katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha untuk menghapuskan penularan wabak Covid-19 ini.- HARAKAHDAILY 14/4/2020