Tips memilih permainan anak

“ANAK kecil perlu diberikan kesempatan untuk bermain. Sekiranya mereka dilarang bermain dan disuruh belajar sahaja, itu akan mematikan hati, mengurangkan kecerdasan, dan menyebabkan mereka bosan dengan kehidupan. Akibatnya, mereka akan selalu mencari alasan bagi menjauhkan diri daripada keadaan yang rumit dan sulit.”

(Imam Al- Ghazali)

Advertisement

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tentunya masa kanak-kanak akan banyak dihabiskan dengan bermain di dalam rumah. Ibu bapa tentunya perlu memikirkan apakah aktiviti yang bersesuaian agar mereka tidak cepat berasa bosan. Salah satu caranya adalah membeli permainan yang bersesuaian dengan mereka.

Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah akan banyak bermain untuk merangsang sistem motor, pancaindera dan minda mereka. Justeru itu, berikut merupakan panduan kepada ibu bapa dalam pememilihan permainan buat anak-anak mereka.

(1) Pilih permainan yang bersesuaian dengan umur anak

0 hingga 18 bulan – Bagi umur bawah 1 tahun, permainan yang sesuai ialah berbentuk rangsangan deria. Contohnya yang berwarna terang dan berbunyi.

18 bulan hingga 3 tahun – Pada peringkat ini kanak-kanak sudah mula boleh berjalan dan bergerak sendiri. Banyakkan permainan berbentuk fizikal sebagai rangsangan kemahiran motor.

3 tahun hingga 6 tahun – Pada usia ini, kanak-kanak sudah banyak bercakap, banyak bertanya dan suka bereksperimen. Mereka tidak perlukan pantauan intensif seperti kanak-kanak bawah 3 tahun.

(2) Sesuaikan permainan dengan tahap perkembangan anak.

Sebagai contoh, bola sesuai untuk kanak-kanak yang sedang belajar menangkap, menyentuh dan melempar.

(3) Anak lebih gemar dengan permainan yang selalu dilihatnya.

Barangan di rumah seperti botol lama, kotak kuih, dan tin susu mempunyai pengaruh yang tinggi dalam merangsang perasaan ingin tahu dan kreativiti anak-anak.

(4) Permainan yang dapat berfungsi sebagai terapi.

Sikap anak mudah dipengaruhi oleh permainan. Seperti air, pasir dan tanah liat memenuhi kecenderungan anak yang agresif melalui aktiviti membina dan membinasakan. Melalui permainan ini, anak belajar berkomunikasi dan berimaginasi.

(5) Libatkan anak-anak dalam membuat keputusan memilih permainan yang sesuai.

Secara tidak langsung, anak-anak akan belajar memahami mengenai risiko daripada permainan dan aktiviti bermain. Contohnya apa yang boleh, apa yang tidak, apa yang bahaya dan apa yang selamat.

(6) Atur aktiviti bermain dengan seimbang.

Ini penting bagi mengajar sistem motor kasar dan halus, konsentrasi, tatabahasa, pengurusan diri, kesabaran, imaginasi dan lain-lain.

(7) Semasa membeli permainan, pastikan mutu, buatan, dan keselamatannya dalam keadaan baik.

Sekiranya permainan itu bertali, pastikan panjang tali tidak lebih daripada 40 sentimeter, kerana tali yang panjang dikhuatiri akan menjerut leher anak.

(8) Sekiranya membeli alat permainan elektronik, perhatikan kodnya.

EC: Early Childhood, untuk 3 tahun ke atas.
KA: Kids to adult, untuk 6 tahun ke atas.
T: Teen, untuk 13 tahun ke atas.
M: Mature, untuk 17 tahun ke atas.
A: Adult, untuk 18 tahun ke atas.

Semoga dapat memilih permainan yang bersesuaian dengan anak- anak ketika musim PKP ini.

Rujukan:
Andi Yudha Asfandiyar, 2014 Creative Parenting Today, Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd.

https://www.mahfuzahzainol.com/single-post/2018/01/14/Tips-Memilih-Alatan-Mainan-bagi-Merangsang-Perkembangan-Kanakkanak

https://tirto.id/tips-memilih-mainan-anak-sesuai-fase-perkembangan-0-bulan-6-tahun-ej7V

FAIZ RAZALI – HARAKAHDAILY 14/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.