Ameerah santuni ‘frontliners’, edar makanan

makanan

SEMALAM hari yang ke-19 dan merupakan malam terakhir kami edarkan makanan kepada petugas sekatan jalan raya, frontliner di hospital, gelandangan dan orang yang memerlukan.

Hasil kerjasama yang erat antara NGO Hanees dan Ameerah kami berjaya menyediakan 50 pax ke 80 pax makanan setiap malam dan ada beberapa hari kami sediakan di sebelah petang.

Misi biasanya berakhir jam 12:00 tengah malam. Dalam tempoh 19 hari itu, Kak Da berkesempatan edarkan makanan di beberapa tempat. Selebihnya dilakukan oleh abang Kak Da, Mejar Mohd Saberi dan team beliau. Kebetulan beliau sedang bercuti di Kuala Terengganu tetapi hari ini beliau perlu pulang bertugas di Kem Tentera di Kota Bahru.

Kami dah tak ada sukarelawan yang sanggup bertugas setiap malam, menyantuni frontliner, mencari orang- orang susah dan gelandangan. Beliau memang dari dulu sangat suka dengan kerja kebajikan. Kami sehati sejiwa kalau bab ini.

Advertisement

Setiap malam kakak Kak Da dan anak-anak saudara akan masak dan bungkus makanan. Masing-masing pakat bantu untuk kebajikan. Kak Da bersyukur di sisi Kak Da, ada insan yang sangat baik hati yang turut membantu terutama keluarga Kak Da. Terima kasih suami, abang, kakak dan semua.

Kenapa kami sangat prihatin dengan kesusahan orang lain? Kerana keluarga kami dulu orang susah, jadi kami sangat memahami keperitan orang lain demi mendapatkan sesuap nasi.

Kami abadikan kenangan sepanjang menjalankan misi bantuan kebajikan ini. Semoga wabak COVID-19 ini segera berakhir dan terima kasih kepada semua dermawan yang budiman. InsyaAllah kami akan teruskan Misi Bantuan Sinar Ramadhan tak lama lagi. Doakan kami.

“Terus Maju Wanita Terengganu”

YB ZURAIDA MD NOOR
ADUN Wanita Terengganu – HARAKAHDAILY 15/4/2020