Butang ‘reset’ ke arah gaya hidup mesra alam

LEBIH tiga minggu yang lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sebuah ceramah yang disampaikan secara atas talian menyatakan, hikmah yang kita tidak sedari di sebalik wabak COVID-19 ini ialah alam sekitar kita kembali segar dan sihat.

Advertisement

Beberapa ketika selepas ceramah tersebut, seorang penulis blog telah memetik semula isi kandungan itu dengan hasrat mahu menjadikannya sebagai bahan perlecehan. Seolah-olah seperti dirancang, perlecehan tersebut disambut pula oleh para warga maya yang cenderung Pakatan Harapan (PH) dengan tujuan yang jelas mahu mempersendakan perkara yang telah disampaikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air.

Mutakhir ini perlecehan yang dimulakan oleh penulis blog tersebut dan disambut oleh warga maya cenderung PH mula memakan diri, apabila kenyataan yang seumpamanya turut diuar-uarkan oleh para pencinta dan tokoh alam sekitar sejagat. Seorang ahli Ekonomi Alam Sekitar, Marshall Burke, dari sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, Stanford University, menyebut wabak COVID-19 ini telah menyebabkan penurunan ketara pencemaran udara.

Penurunan pencemaran udara ini sebenarnya menyelamatkan banyak nyawa, sebagai contohnya Burke membuat anggaran hampir 4,000 kanak-kanak di bawah 5 tahun dan 73,000 warga tua di atas 70 tahun di China dapat diselamatkan nyawa mereka.

Seorang pakar Kimia Atmosfera, Thomas Munzel menyatakan, disebabkan pencemaran udara terbukti memberi kesan besar kepada kesihatan orang awam melebihi jangkaan dan ia pula berlaku di seluruh dunia, maka pencemaran udara ini juga boleh dianggap sebagai ‘pandemik pencemaran udara’.

Menurut Munzel lagi, 75 peratus kematian disebabkan pencemaran udara ini adalah dari kalangan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas, manakala dari kalangan kanak-kanak ramainya di bawah lima tahun.  Sebenarnya sudah banyak data-data di peringkat global dan dalam negara ini menunjukkan pembebasan gas-gas pencemar seperti Karbon Dioksida, Karbon Monoksida dan lain-lain turun mendadak sepanjang musim COVID-19.

Selain daripada penurunan kadar pencemaran udara, aspek-aspek alam sekitar yang lain juga kembali bertambah baik kualitinya, seperti kualiti air sungai yang semakin baik dan semakin berkurangan pula gangguan terhadap habitat spesis hidupan yang lain.

Berlakunya wabak COVID-19 ini telah menyebabkan kebanyakan negara melaksanakan perintah berkurung atau menghadkan pergerakan manusia. Situasi ini telah menyebabkan kegiatan pembangunan dan perindustrian berkurangan dengan mendadak seterusnya mengurangkan berlipat ganda dampak buruk kepada alam sekitar.

Sebenarnya hikmah yang dimaksudkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim, ialah perlunya kita membetulkan semula (reset button) gaya hidup kita. Kerosakan yang berlaku kepada alam sekitar kita, punca asasnya ialah perubahan gaya hidup manusia masa kini yang tidak mengikut fitrah dan tidak mesra alam.

Perubahan gaya hidup ini disebabkan oleh banyak faktor, antara yang paling utamanya perkembangan industrialisasi, yang telah mendorong manusia menggunakan sumber alam semulajadi melebihi fitrah keperluan. Untuk mengembalikan semula gaya hidup manusia kepada fitrah dan mesra alam, ia tidak dapat dilakukan dengan perkakasan (hardware) dan juga tidak dapat dilakukan dengan perisian (software). Ia memerlukan sentuhan kerohanian (heartware) yang terdapat di dalam ajaran agama.

Di dalam Sidang Kemuncak Dunia mengenai Pembangunan Lestari (The World Summit on Sustainable Development) di Johannesburg tahun 2002 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), aspek heartware ini mula diberi perhatian. Agenda melestarikan alam sekitar memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi hardware, software dan heartware.

Wabak COVID-19 yang sedang dihadapi oleh masyarakat sejagat telah membuka peluang kepada masyarakat manusia membetulkan semula tingkah laku yang mengganggu keseimbangan ekosistem global. Ustaz Tuan Ibrahim menyuarakannya senada dengan suara pencinta alam sekitar global, lalu terdiam terus suara-suara perlecehan.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/4/2020