Cari mekanisme terbaik bantu PATI

PATI

PAS Sabah melahirkan rasa sedih terhadap situasi yang menimpa semua penduduk di negeri Sabah termasuklah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PAS secara prinsipnya telah menggerakkan seluruh jentera parti di negeri Sabah untuk membantu dan menyampaikan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.

Saya beranggapan pada masa ini kita semua mesti bekerjasama tanpa mengira agama, bangsa dan parti politik.

Advertisement

Sepanjang aktiviti kebajikan yang dijalankan oleh PAS Sabah, antara masalah yang mesti diselesaikan oleh Kerajaan adalah kesusahan dan kelaparan yang dihadapi oleh sebahagian besar pendatang tanpa izin.

Seperti mana yang kita sedia maklum, Sabah mempunyai pendatang tanpa izin yang sangat ramai. Mereka ini tinggal di kawasan-kawasan setinggan dan ada juga yang menetap di kawasan hutan bakau.

Selain rakyat tempatan, secara kemanusiaannya mereka ini juga mesti dibantu. Ada di antara yang ditemui mengatakan mereka hanya meminum air kosong sudah masuk dua atau tiga hari.

Kerajaan mesti mencari satu mekanisme kemanusiaan yang terbaik untuk berhadapan dengan situasi seumpama ini. Kami cuba membantu setakat yang termampu tetapi pasti tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya tanpa bantuan Kerajaan.

MOHD AMINUDDIN ALING
15 April 2020
Pesuruhjaya PAS Sabah – HARAKAHDAILY 15/4/2020