Islam dan sikap bertanya yang dicela

BERTANYA untuk provokasi

Antara sikap kalangan ahli Kitab ialah mereka menyembunyikan kebenaran yang hakikatnya mereka sudah mengetahuinya. Malah Allah menjelaskan ahli Kitab sangat mengenali tanda dan ciri-ciri Rasul akhir zaman sebagaimana mereka cukup mengenali anak-anak mereka. Ini kerana perkara sebegini sudah diterangkan oleh utusan sebelum ini yang menjadi Rasul kepada mereka serta dinyatakan dalam kitab terdahulu.

Firman Allah S.W.T:

Advertisement

ٱلَّذِینَ ءَاتَیۡنَـٰهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ یَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا یَعۡرِفُونَ أَبۡنَاۤءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِیقࣰا مِّنۡهُمۡ لَیَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ یَعۡلَمُونَ

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).”

[al-Baqarah: 146]

Perangai jahat ahli Kitab ialah mereka bertanya bukan untuk tahu dan mengikut kebenaran, namun mereka sengaja bertanya untuk cetuskan polemik atau provokasi bagi menggoyangkan keimanan orang Islam. Sebagaimana dalam peristiwa pertukaran kiblat.

Firman Allah S.W.T:

۞ سَیَقُولُ ٱلسُّفَهَاۤءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمۡ عَن قِبۡلَتِهِمُ ٱلَّتِی كَانُوا۟ عَلَیۡهَاۚ قُل لِّلَّهِ ٱلۡمَشۡرِقُ وَٱلۡمَغۡرِبُۚ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طࣲ مُّسۡتَقِیمࣲ

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan Barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

[al-Baqarah: 142]

Bertanya untuk memperlekeh yang ditanya

Sikap ahli Kitab juga dalam bertanya yang dikeji ialah mereka sengaja bertanya sesuatu perihal yang pelik-pelik kepada Rasulullah S.A.W sama ada berkaitan kisah umat terdahulu atau perkara ghaib yang terdapat dalam kitab terdahulu.

Tujuan mereka adalah untuk:

(1) Memperlekehkan Rasulullah S.A.W dengan harapan Baginda S.A.W tidak mampu menjawab.

(2) Mahu menunjukkan mereka kaum yang hebat kerana didahului oleh para utusan dengan maklumat yang tidak diketahui oleh bangsa Arab yang merupakan keturunan Baginda S.A.W.

(3) Mencabar kerasulan Rasulullah S.A.W dalam menjawab pertanyaan adakah Baginda S.A.W benar menerima wahyu atau hanya mereka-reka.

Antaranya mereka bertanya berkenaan kisah umat terdahulu iaitu berkenaan Ashabul Kahfi. Ini kerana mereka nak mendabik dada bahawa mereka lebih mengetahui kisah yang bagi mereka adalah menakjubkan.

Firman Allah S.W.T:

أَمۡ حَسِبۡتَ أَنَّ أَصۡحَـٰبَ ٱلۡكَهۡفِ وَٱلرَّقِیمِ كَانُوا۟ مِنۡ ءَایَـٰتِنَا عَجَبًا

“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘Ashaabul Kahfi’ dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?”

[Al-Kahf: 9]

Antara soalan pelik yang ditanya ialah berkenaan makanan yang dihidangkan kepada penghuni syurga. Ini sebagaimana hadis dari Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:

أنَّ عَبْدَ اللَّهِ بنَ سَلَامٍ، بَلَغَهُ مَقْدَمُ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ المَدِينَةَ فأتَاهُ يَسْأَلُهُ عن أشْيَاءَ، فَقَالَ: إنِّي سَائِلُكَ عن ثَلَاثٍ لا يَعْلَمُهُنَّ إلَّا نَبِيٌّ، ما أوَّلُ أشْرَاطِ السَّاعَةِ؟ وما أوَّلُ طَعَامٍ يَأْكُلُهُ أهْلُ الجَنَّةِ؟ وما بَالُ الوَلَدِ يَنْزِعُ إلى أبِيهِ أوْ إلى أُمِّهِ؟

“‘Abdullah bin Salaam mendatangi Rasulullah S.A.W saat beliau tiba di Madinah. Ia pun bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan bertanya kepada engkau atas tiga permasalahan yang tidak diketahui kecuali oleh seorang Nabi”. Beliau S.A.W menjawab: “Bertanyalah”. ‘Abdullah bin Salaam melanjutkan: “Apakah tanda hari kiamat untuk pertama kali? Makanan apakah yang pertama kali dimakan oleh penduduk syurga? Dan dari mana datangnya sebab seorang anak menyerupai ayah dan ibunya?”.

(Riwayat al-Bukhari)

Bertanya untuk beralasan dan memperolok

Kisah berlaku dalam masyarakat Bani Israel yang melihat sendiri seorang lelaki dibangkitkan kembali selepas kematiannya untuk mendedahkan siapakah pembunuhnya dan selepas itu dia mati kembali.

Masyarakat Bani Israel berada dalam suasana yang sungguh buruk, mereka melakukan jenayah, kemudian menyembunyikan sehingga tidak dapat dikesan siapakah melakukannya. Mereka sedia membuat pakatan menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.

Kisahnya apabila seorang lelaki kaya daripada kalangan Bani Israel dibunuh dan mayatnya diletakkan di kampung berdekatan dengan tempat pembunuhannya. Kejadian itu menimbulkan pertikaian dan tuduh-menuduh antara dua kampung berkenaan mengenai siapakah pembunuhnya.

Perkara itu dirujuk kepada Nabi Musa dan mereka meminta Baginda bermunajat kepada Allah S.W.T supaya didedahkan siapakah pembunuhnya. Allah S.W.T memerintahkan Bani Israel menyembelih seekor lembu betina. Lantas jawapan mereka sangatlah biadab apabila menuduh Nabi Musa mempermainkan mereka dengan menggunakan nama Allah S.W.T.

وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦۤ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُوا۟ بَقَرَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوࣰاۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِینَ

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

[al-Baqarah: 67]

Sebenarnya jika mereka menyembelih mana-mana lembu pun sudah memadai. Bagaimanapun, Bani Israel menunjukkan sikap angkuh dengan tidak mempercayainya dan bertanya pelbagai soalan mengenai sifat dan rupa lembu hanyalah beralasan semata-mata.

Bertanya dengan banyak songeh, bukan untuk terima kebenaran

Kalangan kaum Musyrikin Makkah, reaksi dalam melawan apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W ialah mereka bersikap banyak songeh. Mereka pertikai dan menimbulkan persoalan yang ditanya itu dan ini namum bukan tujuan untuk menerima kebenaran dan mengikutinya. Mereka hanya banyak songeh dan keinginan kebenaran mengikut selera nafsu mereka.

Mereka menolak Rasul kalangan mereka dan bertanya mengapa bukan kalangan malaikat yang diutus menjadi Rasul kepada mereka.

Firman Allah S.W.T:

وَقَالُوا۟ مَالِ هَـٰذَا ٱلرَّسُولِ یَأۡكُلُ ٱلطَّعَامَ وَیَمۡشِی فِی ٱلۡأَسۡوَاقِ لَوۡلَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡهِ مَلَكࣱ فَیَكُونَ مَعَهُۥ نَذِیرًا

“Dan mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).”

[al-Furqan: 7]

Jika kalangan Rasul itu kalangan manusia, mereka menolak jika individu itu bukan kalangan yang kaya dan mewah harta bendanya. Ukuran kebenaran yang mereka mahukan ialah kemewahan dunia. Mereka kalangan pembesar yang kaya maka mestilah Rasul itu lebih kaya dari mereka.

Firman Allah S.W.T:

أَوۡ یُلۡقَىٰۤ إِلَیۡهِ كَنزٌ أَوۡ تَكُونُ لَهُۥ جَنَّةࣱ یَأۡكُلُ مِنۡهَاۚ وَقَالَ ٱلظَّـٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلࣰا مَّسۡحُورًا

“Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang beriman): “Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang tidak siuman”.

[al-Furqan: 8]

Mereka tidak mampu mengalahkan kehebatan al-Quran lantas untuk menolak al-Quran, wahyu yang disampaikan oleh Baginda S.A.W mereka menuduh Baginda S.A.W mereka-reka al-Quran yang hanyalah kisah dongengan.

Firman Allah S.W.T:

وَقَالَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ إِنۡ هَـٰذَاۤ إِلَّاۤ إِفۡكٌ ٱفۡتَرَىٰهُ وَأَعَانَهُۥ عَلَیۡهِ قَوۡمٌ ءَاخَرُونَۖ فَقَدۡ جَاۤءُو ظُلۡمࣰا وَزُورࣰا * وَقَالُوۤا۟ أَسَـٰطِیرُ ٱلۡأَوَّلِینَ ٱكۡتَتَبَهَا فَهِیَ تُمۡلَىٰ عَلَیۡهِ بُكۡرَةࣰ وَأَصِیلࣰا

“Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain”. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta. Dan mereka berkata lagi: “Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)”.

[al-Furqan: 4 – 5]

Mereka Musyrikin Makkah juga banyak songeh apabila bertanya mengapa al-Quran tidak diturunkan secara sekali gus. Sedangkan mereka tetap tidak beriman namun hanya bertanya yang banyak songeh, bukan untuk tahu dan ikut.

Firman Allah S.W.T:

وَقَالَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لَوۡلَا نُزِّلَ عَلَیۡهِ ٱلۡقُرۡءَانُ جُمۡلَةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِۦ فُؤَادَكَۖ وَرَتَّلۡنَـٰهُ تَرۡتِیلࣰا

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”

[al-Furqan: 32]

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/4/2020