Jaga keberkatan dalam jual beli ‘online’

BERNIAGA memperoleh pahala besar

Berniaga merupakan aktiviti yang dihalalkan oleh Allah. Berniaga mendapatkan keuntungan dengan cara yang benar adalah berbeza dengan ‘keuntungan’ dalam riba yang dilakukan oleh konvensional. Bidasan dari Allah apabila pihak Musyrikin Makkah menyamakan antara jual beli dengan urusan riba.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

قَالُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡبَیۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰا۟ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَیۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ۚ

“Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

[al-Baqarah: 275]

Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi di dalam kitabnya “Hikmah al-Tasyri’ Wa Falsafatuh” menyebutkan bahawa aktiviti berjual termasuk dalam konteks ibadah apabila:

(1) Niat yang benar mencari harta yang halal.
(2) Mendapatkan nafkah bagi menyempurnakan kewajipan kehidupan.
(3) Urusniaga yang dijalankan adalah yang mematuhi syariah.

Ia juga merupakan fardhu kifayah kerana:

(1) Memenuhi keperluan dan permintaan pengguna.
(2) Menjadikan ummah berdiri sendiri tanpa bergantung pada pihak selain Islam.

Justeru, berniaga tidak hanya sekadar urusan keduniaan dan kepuasan dalam mencari harta untuk keperluan kehidupan malah ia menjadi medium dan usaha mendapat pahala yang besar. Apa sahaja urusan berniaga maka ia termasuk dalam perbincangan di atas termasuklah jual beli secara dalam talian (online).

Tanamkan kejujuran

Perkara utama yang penting ialah kedua-dua pihak sama ada penjual atau pembeli mestilah bersikap dengan jujur. Kejujuran akan menjadikan jual beli berlangsung dengan baik dan memuaskan setiap pihak.

Penipuan di dalam jual beli adalah diharamkan oleh Islam malah ia termasuk dalam dosa yang besar kerana Allah mengancam dengan ancaman ‘kecelakaan’ ke atas orang yang menipu dalam timbangan.

Firman Allah S.W.T:

وَیۡلࣱ لِّلۡمُطَفِّفِینَ * ٱلَّذِینَ إِذَا ٱكۡتَالُوا۟ عَلَى ٱلنَّاسِ یَسۡتَوۡفُونَ * وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ یُخۡسِرُونَ

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

[al-Mutaffifin: 1 – 3]

Kejujuran dalam berniaga termasuklah:

(1) Info jenis barangan yang jelas dan terperinci.
(2) Info harga jualan yang jelas.
(3) Tawar menawar yang tidak ada unsur penipuan.
(4) Iklan yang tidak memperdayakan pelanggan dengan keraguan dan ‘over claim’.
(5) Testimoni pelanggan yang benar bukannya rekaan.

Berlaku jujur dalam berniaga tidak rugi, malah mendapat keuntungan di dunia serta di akhirat mendapat darjat yang tinggi iaitu bersama.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

التاجر الصدوق الأمين مع النبيين والصديقين والشهداء

“Peniaga yang jujur lagi amanah akan ditempatkan bersama para Nabi, kalangan Siddiqin dan Syuhada.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Pastikan pemasaran (marketing) yang benar lagi tidak melampaui

Dunia teknologi zaman ini menjadikan media sosial adalah medium berpotensi dalam jual beli secara online. Keuntungan boleh mencecah kadar yang besar dan tinggi apabila berjayanya sesuatu pemasaran yang dibuat. Ilmu pemasaran sangat penting bagi memastikan produk yang ditawarkan adalah sampai ke pengetahuan pembeli dan menarik untuk dibeli.

Tanpa pemasaran yang berjaya, potensi jualan untuk lebih meletup” adalah kurang dan menjadikan sasaran jualan untuk mencapai sesuatu keuntungan tidak tercapai. Walaupun begitu, sebagai seorang Muslim kita ada disiplin iaitu sempadan dosa dan pahala. Kita tidak dilarang melakukan apa sahaja teknik pemasaran selagi mana tiada unsur yang diharamkan oleh syarak.

Menjaga batasan dalam pemasaran adalah wajib bagi memastikan hasil keuntungan yang halal lagi barakah. Beberapa perkara yang perlu dijaga ialah:

(1) Tidak eksploitasi model dengan pemakaian, peragaan, kelakuan yang bertentangan syarak dan menimbulkan fitnah.

(2) Tidak melampaui dan membuat rekaan testimoni demi mengaburi pelanggan untuk membeli.

(3) Memastikan poster iklan jualan adalah yang sebenar dan realiti sebagaimana produk yang ditawarkan. Jangan hanya ‘indah dari khabar’ sehingga mencetuskan perasaan tertipu dan tidak redha dari pihak pelanggan.

(4) Jangan mengambil kesempatan memanipulasi kelemahan pembeli dengan menyembunyikan info barangan dan harga sehingga tidak jelas maklumatnya atau wujud kekeliruan di masa hadapan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu berdekatan dengan selonggok makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari Baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya: “Apa semuanya ini wahai tuan punya makanan? Orang itu menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”

(Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Bersaing cara sihat, jangan cantas mencantas

Dalam dunia perniagaan, persaingan tidak dihalang, malah persaingan yang sihat membawakan beberapa faedah antaranya:

(1) Setiap peniaga akan memastikan perkhidmatan yang sentiasa memuaskan dan produk yang terbaik ditawarkan.

(2) Persaingan harga dengan tawaran yang murah akan memberikan kelebihan pada para pengguna.

(3) Perniagaan yang diuruskan akan lebih berwaspada bagi mendapatkan kepercayaan pelanggan tetap.

Namun begitu, para peniaga kena selalu memastikan niat yang baik dan emosi yang terkawal agar tidak mudah ditipu syaitan yang akhirnya menjadikan persaingan secara jahat dengan:

(1) Saling mencantas antara satu sama lain.
(2) Saling memburukkan pihak lain untuk melarikan pelanggan mereka.
(3) Sengaja menyembunyikan maklumat mereka yang sepatutnya diketahui umum.

Sikap persaingan jahat seumpama ini adalah tidak baik bagi individu, masyarakat dan negara. Sektor perniagaan akan menjadi tempat ‘membunuh’ periuk nasi seseorang sedangkan Islam amat menitikkan soal saling bantu membantu antara satu sama lain.

Malahan sikap sebegini akan mengganggu sesuatu harga dan norma pasaran yang tidak seimbang. Menjadikan harga lebih mudah dimanipulasi dan akhirnya berlaku tawaran harga yang tinggi dari tingkatan harga sebenar.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لا يُتَلَقَّى الرُّكْبَانِ لِبَيْعٍ وَلا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلا تَنَا جَشُوْا وَلا يَبِعْ حَاضِرٌ لِبَادٍ

“Tidak boleh menyongsang penjual yang datang dari dusun untuk membeli barangannya, tidak boleh membeli barang yang sedang dibeli kawannya, tidak boleh menipu, jangan orang kota membeli barang orang dusun (memborong untuk menaikkan harga pasaran).”

(Riwayat Muslim)

Disiplin dalam jual beli umum dan secara online

Bagi memastikan jual beli sah dan mendapat barakah, perlu dipastikan syarat-syarat asas jual beli dipatuhi. Beberapa perkara asas secara ringkas ialah:

(1) Jenis barangan yang jelas dan spesifik.
(2) Harga yang dimaklumi tanpa ada caj yang terselindung.
(3) Wujudkan petanda redha antara dua pihak iaitu penjual dan pembeli sama ada menerusi lafaz atau tulisan atau butang dalam talian yang menunjukkan persetujuan.
(4) Wujudkan qabdh sebagai bukti serahan milik sama ada bersifat haqiqi atau majazi. Resit atau apa sahaja slip bukti jual beli termasuk dalam qabdh majazi dengan syarat jelas maklumat yang lengkap.
(5) Jika wujud sebarang caj tambahan seperti upah atas faktor penghantaran maka mesti dimaklumkan secara jelas dan penuh agar tidak berlaku penipuan dan kekeliruan.
(6) Tawar menawar diharuskan dalam Islam untuk capai kata sepakat namun dilarang menipu.
(7) Kontrak atau akad jualan yang telah dimeterai adalah akad lazim, tidak boleh sebelah pihak membatalkan begitu sahaja demi keuntungan lebih dan mementingkan diri sendiri.
(8) Penyebab kepada kerugian atas kecuaian atau khianat wajib bertanggungjawab.

Inilah asas ringkas bagi memastikan jual beli yang sah, tidak batil dan saling mendapatkan keredhaan kedua-dua belah pihak.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

[An-Nisa’: 29]

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/4/2020