Keluarga Rohingya putus bekalan makanan

KOTA BHARU: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas, mungkin ramai terlepas pandang kehidupan kira-kira 600 keluarga Rohingya di Kelantan.

Advertisement

Mereka dikenal pasti tinggal di 11 daerah terputus bekalan makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Timbalan Presiden II Pertubuhan Cakna Palestin Abdul Shakur Sharrie berkata, berdasar maklumat NGO Masyarakat Rohingya Kelantan paling ramai masyarakat terbabit tinggal di Kota Bharu seramai 120 keluarga.

Selain itu di Melor seramai 53 keluarga, Tanah Merah (80 keluarga),
Kok Lanas (70 keluarga), Pasir Puteh (70), Ketereh (40), Wakaf Bharu (13), Bunut Susu (60), Kuala Krai (70), Jeli (12) dan Gua Musang (41).

“Mereka tinggal jauh dari tanah air sendiri, tidak tahu ke mana harus disuarakan resah di hati dalam keadaan penularan wabak Covid-19 sekarang.

“Ramai keluarga mereka miskin tegar terjejas kerana hilang mata pencarian,” katanya di sini.

Abdul Shakur yang juga Koordinator Cakna4Rohingya berkata, pihaknya turut membantu sekadar terdaya bagi membolehkan masyarakat terbabit meneruskan kehidupan.

Menurut beliau pihaknya NGO Misi Kembara Daawah (MKD) menganjur program bantuan asnaf Rohingya bagi membantu masyarakat terbabit.

Baru-baru ini Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar turut menyalur sumbangan kepada masyarakat Rohingya yang tinggal di kawasan Dun berkenaan.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalur sumbangan melalui akaun Cakna Palestin Bank Islam 0301 8010 1229 39.

Maklumat lanjut juga boleh hubungi Abdul Shakur (013 930 0009, Dr Wan Martina (017 981 1966 – MKD) dan Nik Asiah (018 969 6575 – MKD). – HARAKAHDAILY 15/4/2020