SPM, SVM tunda kepada suku pertama 2021

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysi (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Pendidikan), Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin, KPM akan sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi pembukaan semula sekolah. 

Beliau berkata, KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang- kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

KPM juga telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan pembukaan semula sekolah.

“Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan ini hanya akan dibuat apabila kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih. 

“Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya.

Tambah beliau, apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan. 

Bagaimanapun katanya, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar dan Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat. – HARAKAHDAILY 15/4/2020