Apakah buluh PAS dan DAP sama?

INI kes baca tajuk sahaja.

Ramai yang tidak tahu bahawa buluh mempunyai potensi yang tinggi dalam sektor pembuatan perabot dan pembinaan.

Pada tahun 2016 (dua tahun sebelum PH menjadi kerajaan) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah pun merangka pelan tindakan untuk memajukan industri yang berasaskan buluh.

Advertisement

Oleh sebab itu berani saya katakan ini bukan ‘brain child’ atau idea dari Teressa Kok dan juga bukan dari YBM Dr Khairuddin (Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali- Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi)

Tetapi yang hebatnya Dr Khairuddin berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai ‘game changer’ di bawah MTIB dan bukannya di bawah MPOB (Malaysian Palm Oil Board).

Sebaliknya Teressa Kok lebih memilih untuk menukar sawit kepada buluh. Inilah sebenarnya yang menjadi bahan lawak dan humor di kalangan pemain industri dan masyarakat umum. Ditambah lagi dengan kenyataan beliau bahawa ‘boleh menoreh di musim tengkujuh’ dan ‘kempen minum satu sudu minyak sawit setiap hari’ menjadikan Kerajaan PH seperti pepatah Melayu ‘retak menanti belah’.

Tahukah kita bahawa buluh dan pokok getah juga adalah sebahagian dari tanaman yang diakui dan diiktiraf sebagai tanaman hutan dalam undang-undang Malaysia? Maka tidak salah dan sepatutnya kita berbangga mempunyai seorang menteri yang berfikiran jauh atau berfikir di luar kotak apabila beliau secara tegas mahu memajukan industri buluh dalam masa yang sama mencari pasaran baru minyak sawit ke Timur Tengah. Bukannya menyuruh rakyat Malaysia meminum satu sudu minyak sawit setiap hari.

Nilai pasaran komoditi buluh sekitar USD68.8 billion atau RM280 billion setahun di pasaran dunia. Sedangkan Malaysia hanya mampu meraih sekitar RM9 juta sahaja.

Lebih malang lagi industri buluh Malaysia berjaya meraih RM20 juta pada tahun 2017 dan kemudian merudum ke angka RM9 juta pada tahun 2018 iaitu di zaman pemerintahan kerajaan PH.

Dengan hasil pendapatan sekitar RM32,000 sehektar setahun. Ianya sangat berpotensi untuk dimajukan secara komersil atau secara kecil-kecilan dan ditambah dengan sokongan dari Kerajaan berupa ‘softloan’ sebesar RM10,000 per hektar. Pinjaman akan berasaskan kepada prinsip Islam dan hanya perlu dibayar kembali pada tahun ketujuh selepas penanaman.

Oleh itu tidak timbul soal apakah buluh DAP dan buluh PAS serupa atau tuduhan bahawa YBM Menteri menciplak idea Teressa Kok dan akhirnya menjadi bahan perbahasan hangat di media sosial dengan berbagai-bagai tududan dan cemuhan. Sedangkan mereka yang membuat komentar sendiri sangat dangkal kefahaman berkaitan industri buluh yang diletakkan di bawah MTIB.

Sebagai seorang yang berpengalaman di bidang perladangan selama 34 tahun saya melihat ‘game changer’ yang di cetuskan oleh YB Menteri mestilah disambut baik oleh rakyat dan pengusaha memandangkan nilai pasaran dunia yang besar iaitu sekitar US68.8 billion.

MTIB boleh membentuk potfolio baru bagi menjamin kelancaran pengurusan dan pemasaran. Secara langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan di tingkat ladang, R&D, industri hiliran dan di peringkat pengurusan tinggi.

Akhir kalam saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB Menteri dan MTIB atas inisiatif untuk memperkasakan Industri Buloh Malaysia.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka- HARAKAHDAILY 16/4/2020