Jalan sesak, ada pihak ambil kesempatan – Menteri

KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya semalam antaranya berpunca angkara ada syarikat perniagaan yang tidak terlibat dengan perkhidmatan keperluan (essential) mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan Keselamatan yang juga Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob,  fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam menyaksikan undang-undang berkaitan PKP masih diwartakan.

Malah katanya polis masih mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas individu yang ingkar PKP.

Justeru itu katanya perniagaan yang tidak berkaitan dengan perkhidmatan keperluan (essential) tidak dibenarkan memulakan operasi perniagaan mereka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media di sini sebentar tadi.

“Di dalam laporan pihak PDRM di dalam mesyuarat pada pagi ini kita dimaklumkan antara sebab-sebab banyaknya kenderaan semalam salah satunya ialah kerana adanya syarikat ataupun kenderaan yang bukan terlibat di dalam perkhidmatan keperluan asas telah mengambil kesempatan untuk memulakan operasi perniagaan mereka.

“Suka saya ingin beri ingatan bahawa mana-mana perniagaan ataupun sektor perkilangan sekali pun hanya boleh memulakan operasi mereka jika mendapat kelulusan daripada MITI.

“PKP belum lagi ditarik baik, PKP berterusan lagi untuk PKP ketiga dan sesiapa yang ingkar tetap akan dikenakan undang-undang di bawah PKP ini.

“Jadi, kehadiran begitu banyak kenderaan di jalan raya ini seolah-olah rakyat sudah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksanakan dan mereka masih tertakluk kepada undang-undang di bawah PKP,” kata Ismail Sabri lagi.

Walau bagaimanapun katanya, industri berkaitan perkhidmatan keperluan seperti industri makanan dan perubatan masih kekal boleh beroperasi seperti biasa.

Jelasnya, industri makanan misalnya melibatkan banyak rantaian daripada nelayan, pemborong yang memerlukan kenderaan untuk mengangkut hasil nelayan sehingga ke kilang air batu dan pasar ikan.

Justeru ujarnya,  rantaian ini dibenarkan beroperasi sepenuhnya untuk memastikan bekalan makanan konsisten di pasaran.

Bazar Ramadan tidak dibenarkan

Dalam pada itu, beliau juga menerangkan apa sahaja perniagaan melibatkan e-bazaar Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi walaupun perniagaan itu hanya membabitkan pandu lalu dan ‘pack and pick’. 

“Mengenai e-hailing, apa sahaja yang berbentuk bazaar walaupun ada e-hailing kalau kita wujudkan 50 bazaar misalnya sekelompok, dan e-hailing datang untuk mengambil makanan di bazaar tersebut selepas mengambil pesanan ianya tidak boleh dilakukan.

“Sebab bazaar tidak dibenarkan gerai seperti itu tidak dibenarkan tetapi yang perniagaan e-hailing biasa yang sekarang (ini) pun telah dilaksanakan dan hantar ke rumah seperti biasa, perkara itu diteruskan seperti biasa,” ulasnya menjawab pertanyaan wartawan.

Ismail Sabri juga menyeru orang ramai mengambil peduli terhadap keganasan rumahtangga.

Katanya orang ramai yang mengesyaki jika berlaku sesuatu kejadian melibatkan keganasan rumahtangga boleh menghubungi talian Kasih 15999 atau melaporkan kepada polis melalui pesanan WhatsApp di nombor 019- 261 5999.

Beliau mengutarakan kebimbangannya ekoran laporan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima 135 panggilan membabitkan keganasan rumahtangga. 

“Kita memohon kepada orang ramai supaya terlibat sama di dalam membantu, mungkin yang terlibat dalam keganasan rumahtangga itu ada yang tidak berani untuk membuat aduan dan sebagainya ataupun mungkin telefon mereka dirampas dan sebagainya jadi mereka tidak ada ruang untuk membuat aduan,” tambah Ismail Sabri.

813 sekatan jalan raya 

Semalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 558, 548 kenderaan.

Sebanyak 56,052 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,364 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.
PDRM telah mengangkap 1,315 individu kerana ingkar PKP di mana 1,226 individu telah direman dan 89 individu dijamin polis.

Seramai 312 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan mengingkari PKP. – HARAKAHDAILY 16/4/2020