Pengumuman KKM disambut baik – DPIM

KUALA LUMPUR: Pengumuman melanjutkan kontrak pegawai Perubatan, Farmasi dan juga Pergigian oleh Menteri Kesihatan adalah tindakan yang tepat.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut kerana mereka antara ribuan anggota barisan hadapan yang berpenat lelah untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Sikap profesional dan kecekapan KKM telah menjadi buah mulut dan contoh teladan kepada negara lain.

“Kami (DPIM) ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan atas pengorbanan anggota barisan hadapan daripada KKM. Kita mesti menang dan kita akan menang melalui usaha padu bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Semalam, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba, memaklumkan kerajaan telah meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh enam bulan.

Keputusan itu bertepatan dan selari dengan matlamat kerajaan untuk menangani dan memutuskan rantaian Covid-19.

Dalam masa yang sama, Shahir berkata pihaknya juga ingin menyeru agar kementerian dan agensi kerajaan yang lain juga akan menurut langkah murni KKM untuk melanjutkan kontrak pekerja-pekerja dalam sektor bukan kesihatan yang lain.

Katanya, ramai di kalangan penjawat awam merupakan pegawai kontrak yang tertanya-tanya akan nasib mereka dan berharap agar terus terbela serta pendapatan juga tidak akan terputus setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dibatalkan.

“Setiap rakyat Malaysia telah memainkan peranan masing-masing dalam perang melawan wabak Covid-19 dan majoriti rakyat Malaysia akan terkesan dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan fizikal dan juga mental.

“Keprihatinan yang telah ditunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak tertubuhnya kerajaan PN ini amatlah diharapkan dan semoga berita baik yang dimulakan oleh YB Menteri Kesihatan ini akan disahut oleh rakan menteri-menteri yang lain,” ujarnya.

DPIM turut menyeru kementerian lain untuk mendapatkan nasihat KKM sebelum dasar baru dilaksanakan ketika tempoh PKP Fasa 3.

Tambah Shahir, seharusnya pergerakan dan aktiviti terus diperketatkan agar tiada lagi kluster baru terhasil.– HARAKAHDAILY 16/4/2020