PKP: Insentif kurangkan beban syarikat air

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada kedudukan kewangan syarikat-syarikat air. Ini disebabkan oleh pengurangan permintaan bekalan air oleh sektor industri, komersial dan pengilangan yang dianggarkan sebanyak 60 peratus. Di samping itu, syarikat-syarikat air juga terpaksa menanggung kos operasi (OPEX) yang meningkat terutamanya kos pembelian bahan kimia, klorin dan bil elektrik.

Hal ini berikutan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mengarahkan operator air meningkatkan pengedosan klorin dalam air terawat dari 0.2 bahagian dalam sejuta (parts per million – ppm) kepada 0.5 ppm bagi membasmi virus COVID-19 yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kos OPEX utama lain termasuk pembayaran bil elektrik yang mewakili hampir 50 peratus daripada kos pengeluaran satu meter padu air bersih.

Sebagai salah satu perkhidmatan perlu (essential services), Kementerian Alam Sekitar dan Air akan memastikan kelangsungan bekalan air kepada penduduk terus terjamin. Bagi meringankan beban kewangan syarikat-syarikat air, saya ingin mengumumkan dua (2) insentif seperti berikut:

(i)     SPAN memberi pengecualian kadar fi tahunan lesen individu kepada pemegang lesen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pendapatan. Langkah ini akan memberikan penjimatan berjumlah RM24 juta kepada pemegang lesen dan kehilangan pendapatan kepada SPAN; dan

(ii)   Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memberi penangguhan bayaran sewa pajakan aset air sedia ada untuk tempoh tiga (3) bulan bermula April 2020 melibatkan penangguhan pembayaran berjumlah RM100 juta. Penangguhan ini hanya terpakai kepada sewa pajakan ke atas pinjaman bekalan air kerajaan negeri yang telah diambil alih oleh PAAB melalui inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara. 

Kementerian ini melalui SPAN akan memantau bekalan air secara berterusan sepanjang tempoh PKP dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara.

YB DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air
16 April 2020 – HARAKAHDAILY 16/4/2020

Advertisement