Terengganu antara pengeluar tembikai di Malaysia

SETIU: Terengganu menjadi antara negeri pengeluar utama tembikai di Malaysia apabila memiliki kebun dan ladang penanaman seluas 1,000 hektar dan penghasilan buah sekitar 750,000 metrik tan setahun.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman sepanjang tahun itu dilaksanakan secara berperingkat serta berjadual bagi memastikan bekalan berterusan.

“Dengan 1,000 hektar kawasan yang ditanam tembikai di seluruh negeri ini, boleh saya nyatakan bahawa Terengganu adalah salah satu negeri pengeluar utama tembikai di Malaysia.

“Ia melibatkan seramai 3,000 petani yang menanam bukan secara serentak dan berjadual yang disusun oleh Jabatan Pertanian Negeri, selain berupaya mengelakkan berlaku lambakan hasil,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas Program Pemantauan Belian Tembikai Kelompok, Tanaman Tembikai FAMA di Kampung Alor Tok Kabar, di sini kelmarin.

Mengulas lanjut beliau juga memaklumkan, hasil daripada itu, kerajaan berjaya memastikan rakyat Terengganu memiliki bekalan makanan yang mencukupi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, seramai 25 peserta terlibat dalam kelompok tanaman tembikai di Kampung Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh menarik nafas lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan hasil tananam mereka ke Semenanjung Malaysia.

Malah ujar beliau, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) turut memainkan peranan penting dalam memasarkan hasil pertanian dalam tempoh PKP ini.

“Dengan keluasan 14.5 hektar itu, mereka berjaya menghasilkan kira-kira 436 matrik tan yang bernilai dalam lingkungan RM343,000. Dalam fasa pertama dan kedua PKP, TADC berjaya memasarkan kira-kira 1,000 tan metrik.

“Untuk fasa ketiga kita menjangkakan dalam 1,000 tan metrik lagi tembikai akan dipasarkan. Jadi dalam dalam tempoh sebelum dan semasa PKP  ini boleh disimpulkan sebanyak 3,000 tan metrik  telah dikeluarkan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kadar harga tembikai kata beliau, keadaan semasa ini tidak mampu mengembalikan harga sebagaimana tempoh sebelum PKP kerana berkait dengan permintaan.

“Namun dari segi harga apabila di atas daripada RM0.50 satu kilogram, petani tidak akan rugi. Petani akan rugi sekiranya harga tembikai RM0.40 ke bawah sahaja,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2020