Al-Kindi dan dalil kewujudan Allah secara akal

DI AWAL Khilafah Abbasiah

(1) Kemasukan manuskrip Falsafah Yunan di awal zaman Khilafah Abbasiah telah menyebabkan munculnya firqah-firqah (pecahan-pecahan Islam). Masing-masing berpaksikan kepada ideologi tersendiri.

Rata-rata pemikiran-pemikiran ini mula beranak dari Iraq, antara tempat yang terkena tempias perkembangan falsafah Yunani dari segi sejarahnya. Kota yang juga menjadi pusat ilmu Islam.

(2) Antara yang lahir dari kota tersebut, ialah Imam Abu Hanifah yang merupakan pengasas Mazhab Hanafi. Beliau merupakan Tabi’in, dan juga orang pertama yang mengisytiharkan mazhab Feqah.

Antara yang terkesan dengan dimensi falsafah Yunani ialah pengasas Muktazilah, iaitu Wasil bin Atho’, Jahm bin Safwan dan ramai lagi, yang dikenali sebagai pengasas kumpulan-kumpulan yang tersimpang.

Advertisement

(3) Di kala pembangunan intelektual di bawah Khilafah Abbasiah ketika itu, munculnya satu pendidikan yang khusus, iaitu dalam bidang falsafah. Antara tokoh terawalnya ialah al-Kindi.

Al-Kindi merupakan antara tokoh terawal falsafah Islam yang muncul di Kufah, Iraq. Beliau dikatakan sebagai orang pertama yang menyusun Falsafah Islam secara sistematik.

(4) Beliau dikenali dengan banyak mengkaji manuskrip falsafah Yunani, khususnya aliran neo-Platonism, iaitu sekolah falsafah yang mengikut method Plato.

Adakalanya beliau juga selari dengan pendapat Aristotle yang merupakan murid bagi Plato. Sekalipun berlakunya perselisihan antara kedua-dua tokoh Falsafah Yunani ini.

Pengaruh Falsafah Yunani

(1) Al-Kindi (801-873) hidup di zaman sebelum Imam Abu Hassan al-Asy’ariy (874-936) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (853-944) yang dikenali sebagai pengasas Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

(2) Pada zaman al-Kindi, beliau hidup di bawah pemerintahan Khalifah al-Ma’mun yang memerintah selama 20 tahun, antara 813 hingga 833 Masihi. Era ini dikatakan zaman awal kemasukan pengaruh Falsafah Yunani.

Iaitu apabila Khalifah al-Ma’mun membuka dasar negaranya dengan mempromosikan penyelidikan terhadap manuskrip-manuskrip Falsafah Yunani.

(3) Antara yang terjun dalam bidang ini ialah al-Kindi sendiri. Ketika itu, fahaman Muktazilah sudah pun muncul, dan meresap ke dalam dunia Islam bersama fahaman-fahaman yang lain.

Pertembungan ideologi cukup hebat ketika itu, menjadikan tokoh-tokoh ilmuan Islam muncul untuk mempertahankan ketulenan Islam. Antaranya al-Kindi sendiri.

(4) Apabila kita meneliti karya-karya beliau, kita akan dapati bahawa beliau menulis mengenai ilmu tauhid. Method pemikiran falsafahnya itu bertembung dengan pemikiran Muktazilah.

Antara keunikan pemikiran beliau ialah beliau menggabungkan method Yunani Klasik, iaitu neo-Platonism dengan kefahaman agama Islam yang bertunjangkan kepada al-Quran dan Hadis.

Ia berbeza dengan Muktazilah, yang mencedok falsafah-falsafah tersebut dan diukur dengan logik akal mereka semata-mata. Sedangkan mereka masih terkeliru mengenai maksud ‘logik’.

Karya Al-Kindi

(1) Al-Kindi terkenal dengan karyanya yang bertajuk حدود الأشياء ورسومها yang bermula dengan menceritakan latar belakang sejarah dan pemikiran Falsafah Yunani. Beliau lebih kepada meluruskan kefahaman.

Iaitu memahami dengan betul mengenai falsafah, dan penghujahannya. Antaranya beliau mengaitkan bahawa Falsafah Yunani meletakkan matlamatnya mencari kebenaran. Manakala Agama itu adalah kebenaran.

(2) Justeru, wujudnya keselarian antara akal dan agama. Cumanya akal itu perlu diluruskan, dan pastinya akan selari dengan agama yang betul. Bahkan, beliau berhujah bahawa akal manusia itu terbatas.

Manakala kebenaran itu tidak dibatasi dengan akal manusia. Justeru, beliau menggunakan istilah fizik dan metafizik, iaitu sesuatu yang melangkaui fizik.

(3) Beliau juga mengemukakan bahawa falsafah yang tertinggi adalah ketuhanan, yang merupakan sebab (علة) bagi sebab kebenaran. Beliau mengulas bahawa inilah ‘kerja’ ahli falsafah.

Iaitu ahli falsafah ‘kerja’nya mengemukakan teori kebenaran. Manakala secara praktikalnya, mesti mengikuti kebenaran itu dengan mengaitkan pada empiris (pengalaman).

(4) Dalam bab ketuhanan, selain daripada mengatakan falsafah yang tertinggi itu adalah bab Ketuhanan, beliau mengemukakan hubung kait antara علة dan معلول. Dalam masa yang sama علة yang sebenar adalah Tuhan.

Konsep hubung kait antara علة dan معلول ini banyak dibicarakan di dalam kitab kitab Tauhid sejak dahulu sehinggalah ke hari ini. Konsepnya telah digariskan oleh al-Kindi lebih awal.

Pemikiran al-Kindi

(1) Al-Kindi menyatakan bahawa ahli Falsafah bersandar kepada kekuatan akal untuk mencari kebenaran. Sama juga sepertimana Islam yang menyuruh supaya menggunakan akal untuk memahami ajarannya.

Di sini kita boleh fahami bahawa al-Kindi sangat memuliakan akal. Apatah lagi Falsafah Yunani yang digariskan oleh Socrates (Guru Plato) dengan menggunakan hujah akal (Rasionalism).

(2) Aristotle walaupun anak murid kepada Plato, namun beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya. Aristotle melihat bahawa Falsafah itu sekadar pemikiran abstrak semata-mata.

Al Kindi pula, walaupun banyak mengkaji pemikiran Aristotle, beliau tidak berpendapat sedemikian. Beliau tetap menyatakan bahawa manusia itu perlu berfalsafah untuk memahami agamanya.

(3) Kebenaran yang dicari oleh ahli falsafah tidak berbeza dengan kebenaran yang dibawa oleh para Nabi A.S. Menggambarkan bahawa dorongan fitrah ke arah kebenaran.

Berdasarkan penelitian beliau yang panjang, beliau merumuskan bahawa pengetahuan (epistemologi) itu dibahagikan kepada dua;

(a) ‘Divine Science’ yang bermaksud pengetahuan daripada Tuhan, disampaikan kepada para Nabi. Pengetahuan ini menghasilkan keyakinan.

(b) ‘Human Science’ yang bermaksud pengetahuan hasil daripada berfikir (akal). Hasil pemikiran manusia ini membuahkan rasional.

Dalil baharunya alam

(1) Sebelum kemunculan Sifat 20, atau Aqidah Thahawiyyah, beliau dianggap sebagai manusia pertama yang berjaya membuktikan kewujudan Allah S.W.T dengan hujah rasional.

(a) Iaitu dengan menggunakan dalil ‘baharunya alam’ (دليل حدوث العالم). Kaedah yang ditemukan ini, digunapakai sehingga ke hari ini di seluruh dunia dalam membuktikan kewujudan Allah S.W.T.

(b) Iaitu hujah yang mengatakan bahawa alam ini mesti ada permulaannya. Permulaan alam inilah yang membuktikan kewujudan Allah S.W.T, yang mewujudkan alam daripada tiada kepada ada.

(2) Sebab itulah di awal tadi saya ada utarakan bahawa beliau memperkenalkan konsep علة dan معلول yang sangat berkait dengan hujahan secara rasional.

(3) Daripada kajian-kajian beliau yang panjang ini, menjadikan ilmu tauhid itu boleh diterima secara rasional. Bahkan asas-asasnya itu dikembangkan oleh tokoh-tokoh ilmu tauhid.

Antaranya Imam Abu Hassan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi. Manakala susur galur beliau disambung oleh al-Farabi, kemudian Ibnu Sina dan seterusnya Ibnu Rushd.

(4) Cetusan-cetusan beliau juga telah mewujudkan satu gelombang penghujahan yang logik dan rasional bagi generasi selepasnya berhadapan dengan golongan Muktazilah.

Antara yang pernah ‘diajar’ oleh beliau ialah, pengetahuan itu satu kebahagian, kerana pengetahuan itu mengingatkan kita kepada tabiat asal manusia, iaitu ‘baik’. Sekalipun manusia itu sering tergoda dengan nafsu.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/4/2020

*Sesiapa yang berminat untuk dapatkan himpunan 6 risalah al Kindi dalam Bahasa Arab, 173 halaman (pdf), boleh personal message (pm) saya. Terima kasih.