COVID-19: 201 pulih, 69 kes baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 69 kes baharu Covid-19 dengan dua lagi kematian direkodkan setakat jam 12.00 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 5,251.

Advertisement

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan dua kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah seramai 86 orang atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata demikian semasa sidang medianya di sini sebentar tadi.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 201 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 sebanyak 2,967 kes atau bersamaan 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sehingga kini, 51 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 26 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan. – HARAKAHDAILY 17/4/2020