Covid-19: Rawatan segera golongan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR: Anak-anak atau penjaga kepada warga emas perlu memastikan golongan ini mendapat rawatan segera sekiranya didapati tidak sihat.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana warga emas merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19 kerana faktor umur dan penyakit kronik yang sedia ada.

Katanya dalam satu kenyataan bahawa rawatan segera perlu diberikan kepada mereka walaupun hanya menunjukkan gelaja ringan seperti batuk, demam, selesema atau sakit tekak.

“Jika anak-anak tinggal berjauhan, lebihkan waktu untuk kerap berhubung. Pastikan juga barang-barang keperluan harian mereka serta bekalan ubatan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran statistik kes kematian Covid-19 yang direkodkan menunjukkan 62.6 peratus daripada kes kematian berumur 60 tahun ke atas.

Setiausaha Agong PAS itu mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) arahan pihak keselamatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga sedang berkuatkuasa. Saya berharap fasa ketiga ini akan berakhir dan menjadi yang terakhir.”

“Semoga yang lepas mampu merumuskan puncanya. Apa yang pasti, setiap yang berlaku pasti bersebab,” luahnya.

Beliau berkata, yang penting insafi keadaan ini dengan tidak mengulangi kesilapan kedua meskipun ia pada zatnya harus.- HARAKAHDAILY 17/4/2020