Isu bantuan Covid-19, MB jumpa Ahmad Said

KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan pemimpin berjiwa besar, apabila sedia bertemu dengan Pengerusi Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berbincang mengenai peruntukan bantuan Covid-19.

Advertisement

“Terima kasih banyak Dato’ Seri Ahmad Said yang menerima kunjungan saya (Dr Samsuri) hari ini, Jumaat 17 April 2020 dan seterusnya menikmati makan tengah hari bersama ( di rumahnya). 

“Alhamdulillah, kami dapat berbincang dalam suasana ceria harmoni tentang suasana semasa di Terengganu dan Malaysia. Moga kita lebih saling faham memahami dan dapat diterjemahkan kepada anak buah di seluruh negeri,” ujarnya sejurus selepas pertemuan itu, hari ini. 

Harakah difahamkan, Dr Samsuri telah mengunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu di kediamannya Kampung Kijal, Kemaman.

“Tugas kita (kerajaan) berat. Insya-Allah, kita sama-sama usahakan untuk kepentingan dan rungkaikan apa jua rintangan bersama di negeri kita (Terengganu) tercinta ini, Terima kasih sekali lagi,” ungkap Dr Ahmad Samsuri, dalam ciapan fecebooknya. 

Kerajaan Terengganu telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM350,000 kepada semua 32 DUN di negeri ini iaitu melalui wakil rakyat (PAS dan Umno) sebanyak RM45,000 dan kepada 32 Pusat Khidmat DUN serta MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) sebanyak RM305,000 seluruh Terengganu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim memuji ketokohan dua pemimpin PAS dan Umno yang berjiwa besar.

Katanya, pertemuan peribadi antara Dr Ahmad Samsuri dengan Ahmad Said itu atas semangat ukhuwah Muafakat Nasional (MN) PAS-Umno.

“Saya ingin memuji jiwa besar kedua dua pemimpin YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dan YB Dato’ Seri Ahmad Said, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, kerana dengan segera menutup sebarang ruang yang tidak elok, dengan mempamerkan semangat ukhuwah Muafakat Nasional untuk diteladani oleh semua,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.

“Semoga Allah SWT memperkukuhkan kesatuan ummah dan proses pembaikan berterusan untuk ummah ini. Kita bina kesatuan (PAS-Umno) ini melalui Muafakat Nasional, Insya-Allah,” jelasnya.- HARAKAHDAILY 17/4/2020.