Norma baharu pembelajaran dan pentaksiran pendidikan

Berikutan daripada kesan pandemik COVID-19 yang melanda dunia

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Menteri Pendidikan Malaysia pada 15 April 2020 yang lalu membuatkan kita terjentik untuk berfikir mengenai norma baharu kaedah pengajaran oleh guru dan pembelajaran oleh murid. Sebelum ini istilah yang popular digunakan adalah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) oleh guru kepada pelajar dengan peranan guru sebagai pemudahcara kepada pembelajaran oleh murid di dalam kelas dan di luar kelas. Dengan hampir 500 ribu guru dan 400 ribu pelajar di Malaysia Google Classroom mencatatkan guru Malaysia di tangga ke-2 aktif di dalam proses pembelajaran dalam talian. Tahniah kepada semua guru di Malaysia yang sentiasa dijulang sebagai wira oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Peranan pendidikan 4.0 yang melibatkan penggunaan pelbagai teknologi seperti Data Analitik Seraya (Big Data Analytic), kecerdasan buatan, kepintaran buatan, realiti augmentik, dan lain-lain teknologi disebut-sebut akan digunakan di dalam proses PdPc. KPM juga mula memperkenalkan kelas masa hadapan atau kelas pintar di sekolah bagi menyokong Revolusi Industri 4.0 melalui pendidikan 4.0. Namun demikian, apabila pandemik COVID-19 muncul apa yang berlaku ialah inilah masa yang sesuai untuk melihat kesiapsiagaan kita menghadapi pendidikan masa depan. Kajian keperluan yang dilakukan oleh KPM menunjukkan bahawa hampir 30 peratus murid tidak bersedia sepenuhnya untuk PdPc dalam talian yang disediakan oleh guru-guru. Apabila peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dibatalkan untuk tahun 2020. Maka langkah ini adalah sangat sesuai. Ini adalah bersesuaian dengan matlamat untuk mengelakkan kebergantungan kepada peperiksaan sebaliknya harus fokus kepada tujuan pendidikan itu sendiri iaitu untuk menambah pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam kalangan murid. 

Di negara yang mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi seperti Finland, Jepun dan kini Singapura walaupun peperiksaan dianggap penting tetapi ianya bukan segalanya mengenai peperiksaan tetapi adalah berkaitan hak anak untuk belajar demi masa depan mereka. Ibu bapa harus mengubah persepsi mereka berkaitan peperiksaan semata-mata. Bagi menyediakan pelajar dengan cabaran COVID-19 yang akan memungkin pelajar tidak bersekolah secara fizikal di sekolah pembelajaran dalam talian boleh dilaksanakan dengan baik. Ini memerlukan kita melihat semula aspek-aspek berikut untuk kesediaan PdPc masa depan:

Advertisement

(1) Kesediaan murid untuk belajar

Kesediaan murid adalah perkara yang paling perlu diberi perhatian kerana mereka adalah subjek utama kepada ilmu pendidikan untuk disampaikan. Walaupun guru bersemangat menyediakan pelbagai bahan PdPc namun jika tidak ada penyertaan murid maka hasil pembelajaran atau standard pembelajaran yang ingin dicapai tidak dapat disampaikan dengan sempurna kepada semua murid. Ini akan mewujudkan jurang kesaksamaan akses kepada pendidikan bagi murid tertentu yang tidak mempunyai akses kepada teknologi. Apa yang boleh dilakukan oleh guru untuk memastikan pencapaian matlamat 4 Matlamat Pembangunan Lestari 2030 adalah dengan menggunakan bahan maujud sedia ada seperti buku teks, buku latihan dan buku kerja dengan ditambah nilai melalui bahan yang dikongsikan di internet dan juga bantuan ibu bapa murid. Kaedah pentaksiran juga boleh dilakukan secara serentak mahupun tidak serentak melalui pelbagai kaedah seperti video oleh murid, bahan evidens yang dibuat murid disemak oleh ibu bapa bagi memastikan pencapaian hasil pembelajaran berdasarkan standard prestasi di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

(2) Kesediaan guru

Apabila murid telah bersedia maka guru dengan mudah melaksanakan PdPc mengikut tahap kesediaan murid. Guru sudah jelas dengan teknologi, pedagogi, kandungan dan pengetahuan yang ingin disampaikan atau digunakan bagi mengajar, menaksir berdasarkan DSKP untuk memastikan murid jelas apa tahap pengetahuan atau pencapaian yang ingin dicapai. Para guru boleh menggunakan pelbagai platform teknologi penstriman video, panggilan video, mesej atau audio untuk PdPc serentak atau menggunakan khidmat mesej telefon biasa untuk memaklumkan kepada murid apa yang ingin dicapai. Setiap aktiviti itu harus jelas tujuan dan hasil pembelajaran bukan sekadar memberi tugasan tanpa matlamat yang jelas. Ya betul setiap tugasan memberi input kepada murid namun murid akan lebih seronok belajar kalau ia jelas apa yang ingin dilakukan atau tujuan pendidikan tersebut.

(3) Peranan ibu bapa

Di dalam konteks pendidikan, guru mungkin menguasai 90 peratus proses pendidikan formal namun peranan ibu bapa di dalam memantau tugasan anak-anak semasa COVID-19 ini amatlah penting. Teguran berterusan ibu bapa dan pemantauan ibu bapa dapat membantu banyak di dalam memastikan tugasan yang diberikan guru dilaksanakan sebaiknya.

Justeru bagi memastikan norma baharu atau kaedah baharu PdPc semasa COVID-19 ini dapat dicapai ianya memerlukan usaha oleh murid, guru dan ibu bapa di dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan di dalam pembelajaran. Tujuan pendidikan bukan sekadar untuk menaksir atau melabel pelajar dengan gred atau band namun lebih besar iaitu memandaikan anak bangsa dengan ilmu kerana Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu sepanjang hayat. 

PROF MADYA DR RIDZWAN CHE RUS
Dekan
Fakulti Teknikal dan Vokasional
Universiti Pendidikan Sultan Idris – HARAKAHDAILY 17/4/2020