COVID-19: Akhirnya Barat terpaksa akur sistem Islam

SELAMAT dengan Islam

Advertisement

(1) Nabi S.A.W bersabda;

اسلم تسلم

“Islamlah, kamu akan selamat.”

(a) Hadis ini asalnya adalah dialog yang panjang antara Nabi S.A.W dan seorang paderi besar yang bernama ‘Adiy bin Hatim at-To’iy, yang berakhir dengan keislaman beliau.

(b) Hadis ini juga termasuk dalam petikan surat Nabi S.A.W yang dikirimkan kepada pembesar-pembesar seperti Raja Parsi, Raja Rom dan lain-lain.

(2) Petikan yang ringkas ini dihuraikan secara meluas oleh para Sarjana. Antaranya mengenai sistem Islam, yang perlu diperakukan. Apatah lagi pada hari ini kita berhadapan dengan situasi COVID-19.

Jika kita perhatikan, kita akan dapati bahawa negara-negara yang mengamalkan sistem Islam khususnya dalam bab perubatan, telah menyusut bilangan kesnya.

(3) Manakala negara-negara yang bising mengenai ‘Human Rights’ mengalami peningkatan kematian yang tinggi. Ia wajar diperincikan bagi kita memahami beberapa realiti.

Yang saya maksudkan mengenai pelaksanaan sistem Islam itu, bukanlah dari segi bilangan orang Islamnya, akan tetapi dari segi kaedah bagi mengekang penularan.

Iaitu kaedah yang diajarkan oleh Islam. Mereka yang akur dengan sistem Islam ini insyaAllah akan selamat. Mereka yang ‘degil’ untuk mengikut sistem Islam ini ‘tak selamat’.

Liberalism VS Stay At Home

(1) Negara-negara Barat seperti Amerika dan Itali yang memegang ranking pertama dan kedua masing-masing ‘terikat’ dengan fahaman Liberalism, dan sudah sebati dengan begitu.

Perkara inilah yang menyebabkan penularan wabak ini sukar dikekang kerana mereka menganggap bahawa mereka perlu diberi kebebasan, sama ada nak ikut arahan PKP atau tidak.

(2) Boleh rujuk semula beberapa artikel saya sebelum ini yang berkaitan mengenai ini [1]. Ia menggambarkan bahawa budaya itu bertentangan dengan sistem Islam khususnya ketika penularan wabak ini.

Berbeza dengan negara-negara yang mengamalkan sistem pengekangan virus merebak cara Islam, seperti kuarantin, duduk di rumah dan sebagainya, dilihat lebih efisien dalam menangani masalah ini.

(3) Beberapa Hadis Nabi S.A.W yang menggambarkan sistem pengekangan virus, antaranya Baginda S.A.W bersabda;

أنَّه كان عَذابًا يَبعَثُه اللهُ على مَن يَشاءُ، فجعَلَه رَحمةً للمُؤمِنينَ، فليس مِن رَجُلٍ يَقَعَ الطاعونُ فيَمكُثُ في بَيتِه صابرًا مُحتَسِبًا يَعلَمُ أنَّه لا يُصيبُه إلّا ما كَتَبَ اللهُ له إلّا كان له مِثلُ أجْرِ الشَّهيدِ.

“Sesungguhnya wabak Ta’un adalah azab yang diutuskan Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan menjadi rahmat bagi orang-orang beriman, tidaklah seorang lelaki yang ditimpa (waba’) Ta’un lalu dia tetap di rumahnya dalam keadaan bersabar dan mengharapkan pahala (dari Allah), lalu dia mengetahui Ta’un itu tidak akan menimpanya melainkan apa yang Allah telah tetapkan baginya melainkan baginya seumpama ganjaran (pahala) orang yang mati syahid.”

(Shahih Bukhari)

(4) Mereka yang akur dengan sistem Islam yang digambarkan dalam Hadis ini, insyaAllah selamat. Begitulah yang dilanggar oleh orang-orang Barat menyebabkan negara mereka sukar membendung penularan.

Kuarantin dan pengasingan

(1) Antara yang lain, Islam mengajar sistem kuarantin ketika berhadapan dengan situasi COVID-19. Antaranya Nabi S.A.W bersabda;

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوْهَا، وَإِذَا وَقَعَ بأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوْا مِنْهَا. (متفق عليه)

“Apabila kamu mendengar berlakunya wabak Taun di suatu negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya maka jangan kamu keluar.”

(Muttafaqun ‘Alaih)

(2) Apa yang digariskan oleh Baginda S.A.W ini ialah selamatkan diri kamu daripada penyakit. Sekiranya kamu ditimpa penyakit, maka janganlah membawanya menjangkiti orang lain.

Ia selaras dengan kaedah Islam;

لا ضرر ولا ضرار

“Jangan memudaratkan diri sendiri dan jangan memudaratkan orang lain.”

(Riwayat Ibn Majah)

(3) Jika dilihat kepada tragedi Ta’un Amwas yang berlaku pada zaman Saidina Umar R.A, beliau menggunakan Hadis di atas tadi untuk melaksanakan kuarantin. Tragedi ini meragut nyawa pimpinan Islam ketika itu, Abu Ubaidah R.A.

Kemudian digantikan oleh Amru al-Ash, dan beliau melaksanakan kuarantin dengan mengarahkan supaya berpindah dari bandar dan kampung pergi ke bukit-bukit dan lembah yang tiada penduduk.

(4) Tindakan pemindahan tersebut walaupun tidak disebut nas secara khusus, namun ia adalah maqasid yang sama dengan penjagaan nyawa. Kedua-dua konsep ini merupakan sistem Islam.

Kuarantin dan pemindahan ke tempat tempat terpencil, secara berpecah, jauh dari orang ramai, sebagai satu langkah yang disediakan oleh Islam untuk mengekang penularan wabak.

Barat dan imunisasi

Saranan-saranan Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hadis ini perlu diikuti oleh manusia, selaras dengan Islam sebagai sebuah sistem. Iaitu sistem mengekang penularan virus.

Sistem yang disediakan oleh Islam itu banyak. Bukan sekadar kuarantin dan pemindahan ke tempat terpencil. Dalam isu penularan wabak ini Islam menyuruh supaya meningkatkan imunisasi.

(2) Imunisasi dibincangkan secara mendalam oleh Sarjana Islam, kerana ia selari dengan maksud daripada al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W yang menekankan aspek penjagaan الوقاية

Imam Al Munawi menghuraikan maksud الوقاية sebagai;

حفظ الشّيء عمّا يؤذيه ويضرّه، والتوقّي: جعل الشّيء وقاية ممّا يخاف.

“Iaitu menjaga sesuatu daripada apa-apa yang mencelakakan dan memudaratkannya. Manakala perkataan التوقي pula menjadikan sesuatu sebagai benteng daripada apa yang ditakuti.”

(3) Apa yang terjadi di Barat menampakkan bahawa mereka berkeras untuk tidak akur dengan sistem ini. Mereka lebih mengutamakan kebebasan (Liberal), berbanding nyawa.

Jelas bertentangan dengan maqasid syariah, dan jika dirujuk kepada ‘mafhum mukhalafah’ bagi Hadis اسلم تسلم mendapati bahawa jika kamu tak nak ikut cara Islam, kamu tak selamat.

Sebab itulah hari ini peningkatan kematian di negara-negara Barat meningkat secara mendadak. Ini kerana mereka lebih cenderung kepada keinginan untuk bergerak bebas sekalipun disuruh duduk di rumah.

Allah S.W.T berfirman;

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?”

(al-Furqan: 43)

Barat ada yang akur

Dunia Islam dan Barat sejak dahulu turut mengkaji mengenai ‘benteng diri’ yang dikenali hari ini sebagai vaksin. Masing-masing bertujuan untuk meningkatkan imunisasi.

Tujuannya ialah untuk berhadapan dengan penyakit yang datang bila-bila masa sahaja. Situasi ini menggambarkan bahawa mereka juga mempunyai naluri untuk mengikut sistem Islam.

(2) Bahkan mereka sendiri tidak tahu bahawa konsep imunisasi atau vaksin itu adalah salah satu sistem Islam. Sebab itu mereka terkenal dengan vaksin-vaksin mereka.

Namun, situasi hari ini mereka enggan mengikut saranan doktor supaya berkurung di rumah selaras dengan kaedah Islam. Ini kerana mereka lebih mengutamakan keinginan.

(3) Mereka mengutamakan keinginan untuk hidup bebas. Tidak terikat. Fenomena ini terjadi kerana mereka begitu lama tenggelam dalam ideologi Sekularism, yang mana akhirnya menjerut mereka sendiri.

Ini kerana sistem kuarantin yang disediakan oleh Islam menyekat kebebasan mereka. Perlu faham, bahawa Islam memberi kebebasan kepada manusia, namun kebebasan itu ada batasnya.

(4) Sebab itulah Barat apabila disuruh ambil vaksin, mereka tiada masalah. Tetapi apabila suruh berkurung untuk elak penyakit berjangkit, mereka rasa tak senang dengan saranan itu.

Namun, sejak-sejak akhir ini beberapa negara Barat sudah mula mempraktikkan sistem kuarantin (berkurung) seperti Chile [2], Britain [3] dan saranan Bill Gates sendiri [4]. Namun, Trump dilihat masih keras kepala [5]

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1353475788179224/?substory_index=0

[2] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/668134/amp

[3] https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/node/557862/amp

[4] https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-dunia/tutup-sajalah-semua-kawasan-bill-gates-gesa-darurat-seluruh-negara-dikuat-kuasa-236243%3famp=1

[5] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/03/670606/covid-19-trump-tak-jadi-kuarantin-new-york

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/4/2020