Iktibar dari Iraq dalam mengurus ‘food security’

DALAM hal keselamatan makanan (food security) ketika berdepan dengan bencana jangka panjang, model Kerajaan Iraq antara yang menarik.

Iraq sebenarnya sebuah negeri pertanian. Kewujudan 2 batang sungai yang membelah bumi Iraq dari Utara ke Selatan iaitu Dajlah dan Furat menjadi bumi 2 sungai ini sangat subur. Orang Iraq selalu sebut kepada saya. Di Iraq hanya tiang elektrik yang kami tanam dan tidak tumbuh membesar. Benda lain yang ditanam semuanya tumbuh membesar.

Gandum antara hasil utama yang merupakan makanan ruji rakyat. Untuk tanaman gandum tidak ada sistem pengairan yang khusus. Bila masuk musim dingin pada bulan Oktober, hujan akan turun dan ketika itulah gandum mula ditabur. Juta hektar luasnya di seluruh Iraq. Memadai hanya dengan hujan yang turun sekali setahun untuk penanaman gandum.

Advertisement

Lebih kurang 4 bulan gandum mula dituai. Kerajaan akan membeli semua gandum yang diusahakan peladang. Biasa saya pergi tengok para peladang berhimpun di Bank Pusat Iraq مصرف المركزي untuk mengambil wang bayaran dari Kerajaan.

Tanggungjawab memproses gandum diuruskan oleh Kementerian Pertanian وزارۃ الزراعۃ. Gandum yang telah diproses kemudiannya diagihkan kepada rakyat secara percuma dalam bentuk bantuan makanan sebanyak 5kg setiap sebulan bagi setiap rakyat Iraq yang bernyawa. Agihan ini termasuk juga kepada semua warga asing yang menetap secara sah di Iraq. Kami pelajar Malaysia pun dapat. Ada lagi bantuan lain seperti beras, susu, minyak masak dan lain-lain.

Peniaga-peniaga boleh mendapatkan bekalan gandum dari Kerajaan dengan harga murah yang membolehkan mereka menjual gandum kepada rakyat juga dengan harga murah. 5kg sebulan masih tak mencukupi tapi ia sangat membantu. Kalau dalam 1 keluarga ada 10 orang, mereka dapat 50kg gandum sebulan secara percuma dari Kerajaan.

Saya melihat food security inilah antara benteng utama kenapa Iraq mampu bertahan berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB dari 1991 sehinggalah kejatuhan Iraq pada 2003. Kuasa besar US boleh sekat Iraq dari darat, laut dan udara. Tapi rakyat tetap boleh makan. Ada waktu dan ketikanya makanan akan lebih bernilai dari wang dan emas.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/4/2020