PKP: K’jaan P Pinang perlu beri potongan bil air

SEBAGAI Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, saya menyokong penuh gesaan ketua pembangkang iaitu ADUN Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd Noor dalam mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 17 April 2020 agar potongan harga bagi bil air perlu diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang.

Langkah ini bagi meringankan bebanan rakyat Pulau Pinang yang terpaksa patuh kepada arahan tinggal di rumah ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beberapa bulan ini. Penggunaan air sudah semestinya akan meningkat musim ini apabila rakyat sentiasa berada di rumah apatah lagi mereka diminta supaya sentiasa sabun tangan dan kerap mandi bagi mengurangkan risiko terkena wabak COVID-19.

Di samping memberi keringanan beban kepada rakyat, usaha memastikan rakyat terus tinggal di rumah dapat membantu mengurangkan bilangan pesakit COVID-19. Perkara ini secara tidak langsung telah meringankan bebanan kepada ‘frontliners’ yang telah berhempas pulas berhadapan secara langsung dengan pesakit-pesakit ini.

Advertisement

Pulau Pinang telah mencatat 4 hari berturut-turut ketiadaan kes positif COVID-19 (15 April – 18 April 2020). Ini adalah satu perkembangan yang cukup positif kerana rakyat Pulau Pinang telah memberi kerjasama dalam memastikan kes COVID-19 tidak bertambah. Bagi menjayakan usaha negeri ini bebas kes dalam 14 hari dan menjadi negeri zon hijau, usaha memberi potongan harga bagi bil air akan menggalakkan lagi supaya rakyat Pulau Pinang terus mematuhi peraturan tinggal di rumah.

Kerajaan Persekutuan telah memberikan diskaun elektrik antara 15 hingga 30 peratus kepada pengguna di musim PKP ini. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM130 juta bagi setiap negeri termasuk negeri pembangkang dalam menghadapi wabak COVID-19 ini. Saya yakin dengan bantuan ini, sebahagiannya dapat digunakan untuk memberi potongan harga bil air kepada rakyat Pulau Pinang.

Semoga usaha kesemua pihak di negeri ini dapat membebaskan Pulau Pinang daripada COVID-19. Usaha ‘Kita Jaga Kita’ perlu dimainkan oleh semua pihak dan Kerajaan Negeri perlu menggalakkan lagi rakyat supaya patuh dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sekian.

YB MOHD YUSNI MAT PIAH
ADUN Penaga
Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 18/4/2020