PKP: Peningkatan kualiti udara dan air sungai 

SAYA ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai corak (trend) dan peningkatan kualiti udara dan air sungai sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuatkuasa dari 18 Mac hingga 14 April 2020. Ada dua laporan mengenai kualiti udara dan air sungai lagi menyusul semasa dan selepas PKK.

Kualiti udara

Pada keseluruhannya, Indeks Pencemar Udara (IPU) sebelum PKP (1 Mac hingga 17 Mac 2020) dan semasa PKP (dari 18 Mac hingga 14 April 2020) menunjukkan 14 peratus peningkatan bilangan hari yang mencatatkan IPU ‘bersih’ di seluruh negara.

Untuk makluman, analisis terhadap parameter pencemar udara utama iaitu nitrogen dioksida (NO2), sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter bawah 2.5 mikron (PM2.5) yang dicerap di 65 stesen mencerap bahan cemar udara. Trend bacaan bahan cemar udara, iaitu NO2 , SO2, CO dan PM2.5 di tiga stesen di Lembah Klang menunjukkan:

Advertisement

(i) Penurunan sehingga 27 peratus bagi parameter SO2;

(ii) Penurunan sehingga 70 peratus bagi parameter NO2;

(iii) Penurunan sehingga 49 peratus bagi parameter CO; dan;

(iv) Penurunan sehingga 29 peratus bagi parameter PM2.5. 

Kualiti udara dari stesen pengawasan kualiti udara di bandar-bandar utama lain di Malaysia bagi tempoh yang sama adalah seperti berikut:

(i) Penurunan sehingga 40 peratus bagi parameter SO2;

(ii) Penurunan sehingga 61 peratus bagi parameter NO2;  

(iii) Penurunan sehingga 31 peratus bagi parameter CO; dan; 

(iv) Penurunan sehingga 26 peratus bagi parameter PM2.5.

Sementara itu, pihak Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memantau status kualiti udara dari 25 stesen gas toksik Total Volatile Organic Compound (TVOC) di Pasir Gudang, Johor. Didapati tahap TVOC di semua 25 stesen tersebut adalah normal iaitu di bawah tahap amaran, iaitu 1 ppm (part per million).

Kualiti air sungai

Parameter kualiti air sungai bagi tempoh sebelum PKP dari 18 Ogos 2019 hingga 17 Mac 2020 dan semasa PKP 18 Mac hingga 14 April 2020 di 29 stesen pengawasan kualiti air automatik (real-time) adalah seperti berikut:

(i) lapan (8) stesen iaitu 28 peratus menunjukkan kualiti air sungai bertambah baik (Indeks Kualiti Air, IKA bertambah baik);

(ii) lapan (8) stesen iaitu 28 peratus menunjukkan perubahan tidak ketara (IKA status kekal); dan

(iii) tiga belas (13) stesen iaitu 44 peratus menunjukkan sedikit penurunan kualiti air sungai (IKA menurun). 

Indeks Kualiti Air (IKA) sungai adalah berdasarkan kepada pengiraan enam (6) parameter utama, iaitu oksigen terlarut (DO), keperluan oksigen biokimia (BOD), keperluan oksigen kimia (COD), ammoniakal-nitrogen (NH3-N), jumlah pepejal terampai (TSS) dan pH (Nama 29 sungai dan stesen pemantauan kualiti air, rujuk lampiran.

Parameter-parameter yang menyumbang kepada peningkatan kualiti air sungai sepanjang tempoh PKP adalah seperti berikut:

(i) Purata penurunan parameter BOD sebanyak 6 peratus;

(ii) Purata penurunan parameter COD sebanyak 5 peratus; dan

(iii) Purata penurunan parameter TSS sebanyak 1 peratus.

Parameter yang menyumbang kepada penurunan kualiti air sungai adalah seperti berikut:

• Purata penurunan parameter DO sebanyak 6 peratus.

Parameter yang tidak memberi kesan kepada perubahan kualiti air sungai dalam tempoh PKP adalah NH3-N.

Selain itu, pihak Kementerian mengambil maklum bahawa banyak laporan berasingan yang dilakukan oleh pelbagai pihak telah menunjukkan peningkatan kualiti air sungai yang ketara, khususnya di hulu atau di luar lembangan sungai yang menempatkan 29 stesen pemantauan kualiti air sungai.

Pihak Kementerian juga ingin mengesahkan bahawa pengurangan sampah yang dikutip daripada boom di Sungai Kelang, sekitar 50 peratus berbanding 2017 dan 2018, seperti berikut:

(i) Februari – Mac 2020:       9 m3

(ii) Februari – Mac 2018:     21 m3 

(iii) Februari – Mac 2017:    18 m3 

Lokasi pencerapan data sampah sungai ini adalah di Pusat Kawalan SMART yang terletak di pertemuan Sungai Ampang dan Sungai Klang berhampiran Kg Berembang, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Penjelasan

Saya ingin memaklumkan bahawa IPU menunjukkan penurunan paras pencemar udara, khususnya di bandar-bandar utama di seluruh negara disebabkan pengurangan aktiviti atau punca yang menyebabkan pelepasan bahan cemar udara, seperti asap kenderaan bermotor, pelepasan asap cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka. 

Bagi IKA pula, parameter kualiti air di 29 stesen banyak dipengaruhi oleh faktor cuaca dan keperluan menambah-baik sistem pembetungan supaya lebih efisien. Faktor cuaca yang utama ialah peralihan monsun yang menyebabkan peningkatan kekerapan hujan sehingga menyumbang kepada tahap penghakisan tanah terbuka yang meningkatkan kepekatan TSS, dan pengaliran sampah sarap yang tidak diuruskan dengan teratur dalam sesebuah lembangan ke dalam sungai. 

Secara spesifik, kualiti air sungai sepanjang tempoh PKP dipengaruhi oleh:

(1) Beban pencemaran (pollution loading) daripada loji rawatan kumbahan (LRK), loji rawatan efluen industri, dan tangki septik; 

(2) Kumbahan bukan najis (greywater) yang tidak terawat sama sekali daripada kawasan perumahan, pasar basah, penyedia makanan dan sebagainya yang tidak bersambung dengan sistem pembetungan berpusat;

(3) Kelodak akibat hakisan tanah dan sampah ketika hujan.

Rumusannya, TSS dan jumlah sampah meningkat hanya ketika hari hujan, sementara kepekatan parameter lain seperti BOD dan COD berkurangan sepanjang tempoh PKP. Bagaimanapun ia mempengaruhi keseluruhan bacaan IKA.

Ini juga menunjukkan bahawa pemberhentian operasi sementara kebanyakan aktiviti industri dalam kategori perkhidmatan bukan perlu (non-essential services) dan kerja tanah projek pembangunan semasa tempoh PKP ini mempengaruhi kualiti air sungai di seluruh negara. 

Saranan

Saya ingin menyarankan lima perkara seperti berikut:

(i) Bagi memastikan alam sekitar terus lestari dan mencegah pencemaran udara, saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu, atau dengan tidak sengaja. Sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. 

(ii) Saya juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan terhadap punca-punca penghasilan kumbahan bukan najis (greywater), khususnya dari pasar basah dan premis penyedia makanan. Penggunaan perangkap sisa lemak, minyak, dan gris (FOG) perlu dikawalselia dengan spesifikasi yang disediakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

(iii) Sementara pemilik premis yang tidak bersambung dengan sistem pembetungan berpusat mesti mengosongkan tangki septik, sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

(iv) Saya mengingatkan supaya semua pihak supaya tidak mencemarkan sumber air. Pihak yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP dilarang sama sekali melepaskan efluen perindustrian yang tidak dirawat, kumbahan yang tidak dirawat atau air larut resapan (leachate) yang tidak dirawat daripada tapak pelupusan sampah yang berpotensi memberi risiko kepada pencemaran sungai. Kesalahan ini boleh didakwa di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan mereka yang disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

(v) Saya juga menyeru orang ramai untuk membantu pihak Kerajaan, khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my

YB DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air
Putrajaya
18 April 2020 – HARAKAHDAILY 18/4/2020