Teguran kepada PN diputarbelit MalaysiaKini

Komen saya kepada berita “Menteri PN akan menjadi bahan ketawa kalau…”.

Saya merujuk kepada berita bertajuk seperti di atas yang telah tersiar di dalam portal berita Malaysiakini bertarikh 17 April 2020.

Berita tersebut adalah berdasarkan kenyataan akhbar saya bertajuk, “Peringatan untuk kerajaan Perikatan Nasional: Jangan pijak periuk api” yang dikeluarkan semalam.

Advertisement

Di sini saya ingin membuat beberapa pembetulan kepada berita tersebut yang saya anggap tidak begitu tepat.

Ianya adalah,

1) Saya tidak pernah berkata Menteri PN akan menjadi bahan lawak.

Saya hanya menyatakan jika “Menteri-Menteri menjadi bahan lawak ketawa” (seperti di zaman PH) maka “rakyat tidak akan berdiam diri”.

2) Berita itu juga memberi gambaran seolah-olah kenyataan saya memberi tumpuan utama kepada isu pelantikan-pelantikan di dalam agensi kerajaan dan GLC.

Walau bagaimanapun isu tersebut adalah hanya sebahagian dari kenyataan saya.

Saya hanya menyebut jika “pelantikan jawatan-jawatan di dalam kerajaan dan agensi kerajaan di atas pertimbangan politik semata-mata” maka “sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri”.

Kenyataan saya adalah merupakan teguran umum untuk Kerajaan Perikatan Nasional yang menyentuh juga perkara-perkara lain.

Membaca berita itu saya teringat cerita tentang orang buta dan gajah. Salah seorang buta telah memegang ekor gajah dan membuat kesimpulan gajah itu seperti seekor ular. Begitulah Malaysiakini yang hanya memetik sebahagian dari kenyataan akhbar saya.

Walau bagaimanapun saya tidak bimbang dengan kekeliruan yang timbul akibat berita yang disiarkan kerana orang ramai telah sedia maklum akan kecenderungan Malaysiakini.

Saya telah mendapat maklumbalas dari orang ramai tentang kenyataan saya justeru itu mengucapkan terima kasih kepada Malaysiakini kerana telah memberikan publisiti kepadanya. Kontroversi kecil yang dicetuskan telah berjaya menarik minat umum.

Dato’ Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing ( REACH )
18 April 2020 – HARAKAHDAILY 18/4/2020