Tiada solat terawih di masjid, surau – MB Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengekalkan ketetapan menutup seluruh masjid dan surau di negeri itu sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata penutupan itu sebagai mengikuti arahan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Sehubungan itu katanya, rakyat Kelantan diminta untuk menunaikan solat sunat terawih di rumah masing-masing bersama keluarga.

Jelasnya, ketetapan itu dibuat supaya rakyat Kelantan mematuhi arahan PKP yang ditetapkan kerajaan.

“Berjemaah di masjid dan surau memang tidak dibenarkan.

“Sepatutnya kita membiasakan diri solat berjemaah di rumah demi keselamatan nyawa. Ikutlah arahan yang ditetapkan kerajaan untuk keselamatan semua,” katanya.

Beliau kata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Negeri Khas Negeri Kelantan Bilangan 7 di Bilik Gerakan, Kota Darul naim, di sini siang tadi.

Tambahnya, Ramadan ini waktu terbaik untuk melihat ketua keluarga mengimamkan solat sunat tarawih di rumah.- HARAKAHDAILY 18/4/2020