AMAL serah ‘kit mesra’ kepada petugas PKP

KANGAR: Jabatan Amal Malaysia Cawangan Perlis terus aktif melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Seramai 25 pegawai dan anggota jabatan tersebut menyampaikan sumbangan kit mesra kepada anggota pasukan keselamatan di beberapa lokasi semalam.

Sebanyak 300 kit berupa makanan, pencuci tangan (hand sanitizer) dan penutup hidung dan mulut diserah kepada lebih 200 orang anggota pasukan keselamatan yang terlibat tugasan berkaitan PKP.

Advertisement

Pengarahnya Amirul Jufri Mat Saman berkata, kerja-kerja menyediakan kit mesra sumbangan PAPISMA Perlis itu turut dibantu anggota Briged Muslimat Perlis dan mahasiswi daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Perlis.

“Kerja pengagihan sebanyak 300 kit yang siap dilakukan pihak kami dengan dibantu wakil daripada PAPISMA Perlis.

“Pengagihan kit kali ini meliputi tiga ibu pejabat polis daerah (IPD), lapan buah balai polis serta 20 pos sekatan jalan raya di seluruh negeri ini,” katanya di sini.- HARAKAHDAILY 19/4/2020