‘Back up’ ke tak ‘back up’?

BILA mana ada isu berkaitan dengan pimpinan PAS atau sekarang MN, aku lebih suka diam dan tunggu sebab biasanya akan ada sesuatu yang sangat baik selepas bersabar menunggu. Mungkin nasib aku dengan sesetengah orang yang berada agak berbeza kerana alhamdulillah aku insyaAllah boleh mencari sedikit ruang untuk informasi.

Aku biasa akan tunggu dan bertanya kepada pihak yang rapat yang berkaitan dengan apa-apa isu, walaupun perasaan amat sakit atau gelojoh, tak sabar menunggu. Tusukan yang berbisa biasanya dari akhbar-akhbar maya yang sangat bijak dalam menarikan jari mereka di atas papan kekunci, supaya hati kita tertikam.

Dulu pernah aku marahkan pimpinan dan juga rakan sepasukan kerana agak tertekan dengan situasi yang mendesak. Serangan yang begitu teratur, memberikan mereka ruang bergerak yang kemas dan hasilnya dapat mengetuk pintu kecurigaan hati kita, walaupun menyayangi pimpinan kita.

Advertisement

Alhamdulillah kini, perasaan mahu membelasah kerana kesilapan sepasukan sudah jauh berjaya dikawal. Aku menunggu dan menunggu jawapan dan pada hampir semua keadaan ianya adalah palsu sahaja. Jika ini dapat diterapkan dalam hati semua ahli PAS, separuh dari bebanan pimpinan telah kita buang. Kita tidak meletakkan tekanan kepada mereka.

Ianya berbeza dengan isu kesalahan yang benar-benar dilakukan. Kita, tidaklah perlu berusaha mempertahankannya. Jika tiada apa kebenaran yang hendak kita tulis, lebih baik diam dan menanti atau mencari sudut positif atas kejadian itu. Membelasah kembali lawan yang membongkar kesalahan nyata kita adalah suatu percubaan menggantikan kebenaran dengan kepalsuan yang mana ia bukan dari Islam, dan kita akan kalah.

Menuding jari kepada rakan kerana kesalahan itu secara terbuka juga bukanlah idea yang bijak, kerana ia mendedahkan kelemahan rakan kita dan juga secara tidak langsung membuka pekung perangai kita yang suka membaham rakan-rakan sendiri. Ianya tiada nilai tambah bagi membaiki keadaan apatah lagi jika kita boleh berhubung dengan orang berkaitan.

Jadi, kamu pasti sudah nampak bagaimana mahu menangani keadaan seperti kesilapan MB Terengganu dan Exco Perak baru-baru ini. Janganlah dipertahankan isu kesalahan duduk berdekatan itu tetapi carilah isu positif bahawa kesalahan tetap kesalahan, kita harus patuh kepada undang-undang negara sebagaimana kita mahukan orang mengikut ‘The rules of law’ yang kita laungkan. Mereka tidak melanggar arahan PKP, tetapi gagal menjarakkan diri sahaja.

Akhirnya kerana kita tidak berkampung atau menjadi perisai bagi kesalahan pimpinan kita, malah kita meminta secara beramai-ramai agar mereka memohon maaf, maka mereka pun merasa perlu menerima permintaan ikhlas kita ini sebagai hormat pimpinan kepada akar umbi yang setia ketika jatuh dan bangun. Fahami isu, maka kita akan rasa gembira kerana kita tahu itu serangan musuh.

Tetapi agak kasihan kepada yang bersemangat untuk membetulkan pimpinan yang salah kerana iramanya cukup sumbang. Juga kepada golongan yang kononnya mahu berkata benar kepada pimpinan tanpa memahami isu. Dibandingkan kesalahan MB dan Exco dengan seorang lelaki di Kedah tempoh hari. Si lelaki itu keluar dan berkumpul tanpa kebenaran, manakala MB dan Exco tidak memenuhi SOP PKP, tetapi dibenarkan keluar. Nyata berbeza.

Jadi marilah kita mengucapkan jutaan tahniah kepada pimpinan PAS kerana menundukkan diri, menyusur akar yang pastinya langsung tidak menghilangkan bisanya pergi bertemu pihak berkuasa bagi memberitahu yang pimpinan tidak mengatasi undang-undang.

Pimpinan PH bila pula nak minta maaf atau disoal? Atau gambar-gambar mereka berada dekat dengan orang lain itu palsu? Tidakpun mereka kebal virus Wuhan? Ah, PH memang sentiasa maksum. Wala’ penyokong mereka terutama kepada DAP, tidak bertepi.

MOHD NASIR ABDULLAH
19 April 2020 – HARAKAHDAILY 19/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.