Belajarlah dari isteri dan anak-anak

SEMALAM saya dengar seorang muslimat merungut kes keganasan rumahtangga meningkat di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Biasanya keganasan ini dirujuk kepada kes suami belasah isteri atau ayah dera anak. Mungkin ada isteri terajang suami atau anak pukul ayah. Tapi bak kata P.Ramlee, kes itu “kaddang kaddang” ia berlaku sekali.

Banyak faktor keganasan berlaku. Musim PKP ini, mungkin faktor kewangan atau stress, bosan duduk terperap di rumah. Akhirnya isteri dan anak jadi mangsa.

Advertisement

Mudahnya, rumahtangga itu tidak berkat. Tidak ada cahaya agama dan hidup mereka hilang ketenangan serta kebahagiaan.

Ketua keluarga mesti sabar depani cabaran hidup berumahtangga. Jangan emosi dan panas baran tidak tentu pasal. Hilang wibawa ketua keluarga yang sepatutnya menjadi payung dan tempat bernaung anak isteri.

Tak bangga langsung seorang lekaki yang gagah tegap, menampar isteri seorang wanita yang lemah fizikalnya. Apatah lagi melempar anak ke sudut rumah. malah lelaki begini adalah lelaki yang jahat, pengecut dan bacul.

Barangkali hilang sabar kerana isterinya derhaka, anaknya tidak dengar kata. Kalau benar itu berlaku, didiklah mereka dengan baik paling tidak, belajarlah sesuatu dari mereka.

Isteri tidak hormat suami atau tidak dengar kata suami

Selaku ketua keluarga wajar muhasabah diri. Cari dimana silapnya. Kenapa boleh jadi begitu. Kenapa diri tidak dihormati? Kenapa pandangan atau arahannya tidak didengar?

Kemungkinan kita gagal jadi contoh yang baik. Maka baiki peribadi. Mungkin juga cara didik isteri tidak betul maka perbetulkan. Ambil pendekatan berhikmah jangan keras dan ego.

Anak tidak dengar kata

Kena bijak menawan hati anak. Tidak perlu bengis dan keterlaluan. Belai dengan kasih sayang namun tegas agar anak tidak derhaka pada ibubapa. Boleh jadi juga kedegilan anak itu diwarisi dari ayahnya.

Justeru, berilah masa untuk mereka berubah. Menanti kematangan dengan sabar dan didikan yang berterusan. Tak nak marah marah berpanjangan, stress, mengamuk tidak tentu pasal apatah lagi sampai mencederakan.

NASRUDIN HASSAN- HARAKAHDAILY 19/4/2020