Berikan potongan premium insuran, takaful – PAS S’gor

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menggesa semua syarikat insuran dan takaful dapat memberikan ‘diskaun khas’ bagi semua pembaharuan insuran atau takaful motor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan bebanan kewangan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata diskaun khas ini penting untuk dinikmati oleh rakyat kerana sepanjang PKP yang telah memasuki fasa ketiga, majoriti kenderaan tidak berada di jalanraya.

“Hampir 90 peratus tidak bergerak di musim PKP ini dan keadaan ini secara langsung telah meminimakan risiko kemalangan di jalanraya.

Advertisement

“Dengan anggaran bilangan kemalangan yang kecil, jumlah tuntutan akibat kemalangan kenderaan juga akan menjadi rendah.

“Situasi seumpama ini menjadi satu kelebihan kepada syarikat insuran/takaful kerana perlindungan yang diberikan adalah berisiko rendah tetapi dalam masa yang sama kadar premium sumbangan kekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemegang polisi sewajarnya mendapat potongan harga kerana penggunaan kenderaan adalah amat minima semasa pelaksanaan PKP ini.

Dalam masa yang sama, semua bank telah memberikan moratorium kepada peminjamnya dengan tangguh bayar balik pinjaman selama 6 bulan serta Tenaga Nasional Berhada (TNB) memberikan diskaun tariff manakala syarikat telekomunikasi memberikan data percuma.

Namun katanya, keterlibatan syarikat insuran atau takaful untuk membantu rakyat semasa PKP ini hampir dikatakan tiada.

“Sehubungan dengan itu, PAS Selangor menggesa syarikat insuran atau takaful untuk bergerak bersama kerajaan dan syarikat swasta yang lain untuk mengurangkan beban rakyat sepanjang tempoh PKP ini.

“PAS Selangor mencadangkan diskaun khas 15 peratus bagi setiap pembaharuan polisi/sijil perlindungan untuk insuran atau takaful motor,” ujarnya.

Lantaran itu, PAS Selangor bersedia untuk membantu memberikan pandangan dari aspek teknikal pelaksanaan melalui kepakaran Lajnah Pekerja & Pengguna PAS Selangor.

Tambahnya lagi, diharapkan dengan diskaun khas ini dapat membantu majoriti rakyat untuk melalui saat-saat yang sukar bagi meneruskan kesinambungan hidup mereka secara lebih baik.- HARAKAHDAILY 19/4/2020