Ekonomi Digital lebih berkembang pasca Covid-19?

UMUM sedia maklum berkenaan krisis wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia waktu ini. Sedikit sebanyak, boleh dikatakan hampir kesemua peringkat ekonomi terjejas akibat krisis tersebut yang kini menjadikan Amerika Syarikat, Itali dan banyak lagi negara dunia ‘collapse’.

Kesan berantai akibat ‘lockdown’ di kebanyakan negara membuatkan banyak syarikat kecil dan sederhana gulung tikar.

Baik ekonomi negara, syarikat-syarikat besar, apatah lagi usahawan atau peniaga-peniaga kecil.

Ramai yang mengeluh bagaimana jika wabak ini terus berterusan sebegini, ada pekerja terpaksa diberi cuti tanpa gaji, malah ada yang sampai diberhentikan, dan boleh jadi perniagaan mereka akan lingkup dan sebaliknya.

Bagi penulis, waktu inilah sepatutnya jadikan ia sebagai ‘turning point’ untuk melihat krisis ini bukan sebagai masalah, tapi fokus kepada apa langkah yang sepatutnya dilakukan.

Advertisement

Kita juga perlu tahu bahawa ancaman utama bagi syarikat, usahawan atau perniaga-peniaga kecil adalah dari sudut ekonomi.

Oleh itu, kita perlu faham yang mana ekonomi merupakan satu perkara yang kita tidak dapat untuk mengawalnya kerana ia mempunyai banyak faktor.

Tetapi dalam keadaan sebegini, yang kita boleh kawal adalah ‘mind set’ iaitu mentaliti, dari sudut bagaimana sudut pandang kita ingin melihat situasi sebegini, sama ada ia memberi kesan negatif atau membuka peluang-peluang yang baru kepada kita.

Bagaimanapun, usahawan atau peniaga-peniaga perlu mengambil peluang yang ada ketika ini untuk memasarkan sesuatu produk dan mengambil langkah yang produktif, malah keadaan ini juga dilihat merupakan tempoh yang sesuai jika ingin melakukan pemasaran secara digital.

Memetik kata, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro Sdn Bhd Abd, Azharee Abdul Wahid berkata, di kala negara sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berniaga secara dalam talian di kawasan kejiranan merupakan kaedah yang paling sesuai.

Ini bertujuan bagi mengambil langkah proaktif dalam memastikan mereka masih boleh ‘mencari makan’ sepanjang tempoh berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.

Sedar atau tidak, mungkin ada perniaga yang tidak biasa berniga dalam talian, bagi yang menjalankan perniagaan secara konvesional mungkin sukar untuk menukarkan kepada platform digital.

Namun, perlu untuk mereka mengambil satu langkah yang efektif bagi menyelamatkan sesebuah perniagaan, kerana ekonomi yang dibuat secara digital semakin berkembang dan membesar. Dan bila kita bercerita tentang digital sudah pasti ianya tiada sempadan.

Jika mengikut keadaan krisis yang sedang dihadapi kini, cara bagaimana kita ingin melakukan pemasaran secara dalam talian ketika ini, ianya ada sedikit berlainan daripada sebelum-sebelum ini.

Baru-baru ini kerajaan telah memberi internet secara percuma kepada rakyat, tidak dapat tidak ia akan menjadikan ramai orang akan tertumpu kepada perkara yang melibatkan digital, ini juga dilihat dapat membuka peluang kepada peniaga untuk meraih tumpuan orang ramai untuk melihat produk yang dipasarkan secara digital.

Justeru itu, buat mereka yang menjalankan perniagaan cuba jadikan krisis ini sebagai satu peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka serta melonjakkan ekonomi digital, mungkin selepas daripada krisis Covid-19 ini berlalu, boleh jadi perniagaan anda menjadi sebuah syarikat atau perniagaan yang luar biasa.- HARAKAHDAILY 19/4/2020