Nabi Adam berusia 160,000 tahun dahulu

Pandangan berbeza terhadap Syed Naquib al-Attas

SEMALAM, saya ada memuat naik satu hantaran mengenai buku Syed Naquib al-Attas. Saya mempersoalkan anggaran beliau mengenai manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S wujud sekitar 7,000-8,000 tahun dahulu. Ianya bercanggah dengan penemuan arkeologi mengenai tamadun asal manusia (manusia moden) yang sudah wujud 160,000 tahun dahulu.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4033309090043288&id=100000927096907

Alhamdulillah. Allah tidak biarkan persoalan ini bermain lama di dalam minda. Semalam, saya terdetik untuk membelek sebuah buku yang dipinjamkan oleh pensyarah saya bertajuk Sejarah Tamadun Alam Melayu; Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda (2016) terbitan UPSI. Bukan sahaja persoalan itu terjawab, bahkan menyokong beberapa dakwaan yang saya bawa dalam buku Huraian Hadis Geoeskatologi (2018).

Pertamanya, buku ini juga tampil bagi menolak teori Darwinisme yang menjadi asas kajian antropologi. Kedua, buku ini membawa bukti saintifik menerusi penemuan arkeologi dan kimia melalui mtDNA bahawa manusia sudah wujud seawal 160,000 tahun yang lalu. Bukan melalui evolusi keluarga Hominids, tetapi makhluk lain yang berbeza genetiknya dengan beruk.

Advertisement

Bukan itu sahaja, buku ini membawa beberapa penemuan mengenai asal-usul manusia daripada rantau sekitar Asia Barat dan Tanduk Afrika. Secara lebih spesifik, terdapat beberapa kajian yang menyebut mengenai Eden. Ia sekali gus menyokong kajian pakar sejarah dan I’jaz Ilmi, Dr Rusydi Badrawi yang saya bawa dalam buku geoeskatologi bab Aden. Beliau berpendapat bahawa Nabi Adam diciptakan di Kebun Eden (Garden of Eden) di dunia ini, bukan syurga Eden di dimensi akhirat. Pendapat ini juga dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.

Dalam buku Sejarah Tamadun Alam Melayu, penulis juga membawakan kajian berkenaan Arab Saudi sebagai pentas pertama (first staging post) dalam penyebaran manusia moden ke seluruh dunia. Jika dikaji secara lebih spesifik, terdapat pandangan ulamak menyatakan Nabi Adam A.S dan Hawa pernah sampai ke Makkah. Ibnu Kathir menukilkan bahawa Ibnu Abbas berpendapat Nabi Adam diturunkan di antara Makkah dan Taif. Ibnu Abi Hatim pula berpendapat Adam diturunkan di bukit Safa manakala Hawa di Marwah. Juga diriwayatkan Muzdalifah menjadi tempat pertemuan Adam dan Hawa.

Ini juga menyokong dakwaan yang saya bawa dalam buku Geoeskatologi bab Makkah dan bab Barat mengenai ayat al-Quran surah al-Anaam ayat 92 dan surah as-Shura ayat 7 bahawa Makkah merupakan perkampungan pertama di dunia ini. Ia bukan sahaja menjadi daratan (landmass) pertama sebelum berkembangnya daratan lain seawal penciptaan bumi, bahkan ia juga menjadi pentas tersebarnya manusia moden ke seluruh dunia.

Fakta ini sepatutnya sudah cukup untuk umat Islam tidak menjadikan Greenwich sebagai Pangkal Meridian atau pusat bumi. Kita mesti kembali mengiktiraf Makkah sebagai pusat bumi sekurang-kurangnya bagi memperbetulkan kiraan hari (dateline). Ini penting bagi menentukan waktu ibadat yang berkaitan dengan hari seperti Solat Jumaat. Sedarkah kita hari ini, gara-gara mengiktiraf Greenwich sebagai pusat bumi, umat Islam di Alaska melakukan solat Jumaat pada hari Sabtu!

Kembali kepada perbahasan mengenai Nabi Adam. Kesimpulannya, homo sapiens sapiens atau modern human adalah manusia sebenar keturunan Nabi Adam A.S. Ia tidak ada kena mengena dengan anatomically modern human (AMH/homo sapiens) atau Hominids lain yang berevolusi. Homo sapiens sapiens telah wujud 160,000 tahun dahulu. Inilah umur manusia.

Selepas membaca penemuan-penemuan sains ini, sungguh saya semakin yakin dengan kebenaran al-Quran dan Hadis. Tidak rugi berpegang dengan dakwaan al-Quran walaupun pada awalnya kita temui teori-teori yang bercanggah dengannya. Kerana akhirnya kita akan dapat, penemuan-penemuan sains akan membenarkan dakwaan al-Quran dan Hadis.

ALANG IBN SHUKRIMUN
24 Syaaban 1441
19 April 2020 – HARAKAHDAILY 19/4/2020