Peniaga dipelawa daftar S.M.A.R.T Iftar@Perak

Jualan atas talian, khidmat penghantaan ganti bazar Ramadhan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak melalui Digital Perak Corporation Holdings (DigitalPerak) telah membangun sebuah platform pembelian secara digital dengan menggunakan khidmat penghantaran.

Advertisement

Inisiatif terbaharu tersebut bagi menggantikan ketiadaan Bazar Ramadhan disebabkan pandemik COVID-19 dan dapat memenuhi keperluan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan serta memangku Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ‘S.M.A.R.T Iftar@Perak’ dibuka mulai semalam.

“Portal berkenaan akan memaparkan direktori maklumat peniaga yang berdaftar beserta menu Ramadhan dan harga makanan,” ujarnya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan kelmarin.

Menurutnya lagi, para pembeli boleh mula menggunakan kemudahan digital tersebut pada 1 Ramadhan nanti dan bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak.

Beliau turut menggalakkan restoran yang dibenarkan untuk beroperasi menjalankan kerjasama dengan peniaga lain untuk ‘servis pick-up‘ di premis sebagai alternatif.

Menurut pemakluman pihak DigitalPerak, para peniaga yang berminat bolehlah mendaftar di platform digital melalui pautan https://digital.perak.my bagi tujuan pengesahan saringan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelas pihak DigitalPerak lagi, portal dibangunkan Adventure 360 Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan YEZZA menjalin kerjasama strategik dengan syarikat Foodpanda Malaysia dan GrabFood Malaysia. – HARAKAHDAILY 19/4/2020