TGM ‘bilik gerakan’ PAS Lumut bantu penduduk

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah menggerakkan semua lajnah dibawahnya untuk membantu penduduk dalam menghadapi situasi sukar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu.

Advertisement

Antaranya peranan kedai runcit Taqwa Green Mart (TGM) milik Lajnah Ekonomi PAS Lumut telah dijadikan sebagai bilik gerakan untuk menyediakan bekalan makanan asas kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

Menurut Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Lumut, Kamarul Nizam Majid, beliau merasa amat terharu dan berbesar hati kerana dapat membantu meringankan sedikit bebanan keluarga mereka yang sangat-sangat memerlukan bantuan.

Tambahnya lagi, agak menyedihkan kerana masih ramai lagi yang sangat daif dan memerlukan bantuan bagi menyara kehidupan keluarga tetapi tidak dapat berniaga atau bekerja kerana tertakluk di bawah arahan PKP.

Menurutnya, Taqwa Green Mart telah diberi kepercayaan untuk menyediakan dan membungkus barangan keperluan asas, selain menerima tempahan sama dari beberapa masjid dalam Daerah Manjung.

Juga mendapat kepercayaan tempahan barangan daripada Persatuan Nelayan Manjung Selatan, Surau MADAH, Lumut Port, Che Din Dar Al-Jazari, TM Point Sitiawan, Parti BERSATU bahkan sumbangan perseorangan. – HARAKAHDAILY 19/4/2020