UMK menangi 3 anugerah geran inovasi

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi tiga anugerah geran inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengekang penularan Covid-19.

Anugerah itu di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai peneraju dan SME CORP sebagai pemberi dana.

Advertisement

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata geran RM150,000 terbabit untuk produk Faceshield Visor, Personal Protective Equipment Suit dan Intubation Box.

Katanya pemberian geran terbabit menjadikan UMK sebagai universiti awam pertama terpilih menerima Geran Model Community Enabler (HIP6) MOSTI.

“Alhamdullilah, geran ini bukan matlamat asal inovasi tetapi pastilah anugerah geran ini membakar semangat untuk meneroka inovasi baru kepada penyelidik kami,” katanya di sini semalam.

Menurutnya juga Covid-19 memberi impak besar kepada perubahan keseluruhan kesihatan global yang mendorong UMK terlibat sama dalam pembangunan produk inovasi.

Kata beliau juga UMK melihat keperluan mendesak produk berkenaan bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Biarpun UMK bukanlah sebuah universiti berteraskan teknologi namun kami gemblengkan kepakaran dalaman para pensyarah dan penyelidik dengan hasrat usaha kecil kami ini dapat membantu komuniti,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 19/4/2020