Aliran tunai: Antara angka dan hukum

tunai

HIDUP ini sentiasa jadi mudah kalau tidak ada pertembungan. Timbulnya banyak masalah bagi manusia ialah apabila berlaku pertembungan. Memang lumrahnya begitu. Pertembungan suami dengan isteri. Adik dengan abang. Kawan dengan kawan. Pembangkang dengan Kerajaan.

Dalam konteks bajet individu, pertembungan yang saya maksudkan ialah antara angka dengan hukum. Sebenarnya saya berniat untuk memberi tips aliran tunai dalam sembang kali ini. Namun topik ini dirasakan lebih penting sebelum kita ke topik seterusnya.

Saya harap anda sudah buat kira-kira untuk tahu aliran tunai anda. Kira-kira yang mudah. Saya mudahkannya lagi dengan menyebut begini. A (jumlah duit masuk) tolak B (jumlah duit keluar) bersamaan C (baki duit tunai).

Advertisement

Duit keluar

Kalau diikutkan nafsu, semua benda kita nak beli. Semua benda kita nak belanja. Tetapi Islam awal-awal lagi sudah meletakkan keutamaan dalam berbelanja. Bermula dengan Perbelanjaan Tahap 1 (daruriat), Perbelanjaan Tahap 2 (hajiat) dan kemudian Perbelanjaan Tahap 3 (tahsiniat).

Makanan asasi, kain penutup tubuh dan tempat tinggal yang beratap ialah Perbelanjaan Tahap 1 (keperluan asas). Jika anda tidak mampu berbelanja untuk memenuhi tiga tahap ini, maka ia sama ada akan menjadi tanggungjawab penanggung nafkah, masyarakat (melalui sedekah) atau negara (melalui wang zakat atau lain-lain).

Makanan berzat, pakaian yang selesa dan tempat tinggal yang bertilam ialah antara Perbelanjaan Tahap 2 (keperluan tambahan). Banyak lagi yang boleh disenaraikan. Jika anda tidak mampu berbelanja untuk memenuhi tahap ini, secara asasnya ia menjadi tanggungjawab diri anda sendiri. Secara realitinya, mungkin menjadi tanggungjawab masyarakat atau Kerajaan.

Makanan berlauk-pauk, pakaian berhelai-helai dan tempat tinggal yang berhawa dingin ialah antara Perbelanjaan Tahap 3 (keselesaan). Jika anda tidak mampu berbelanja untuk memenuhi tahap ini, anda tidak boleh salahkan masyarakat atau Kerajaan.

Jika perbelanjaan anda di Tahap 1 atau Tahap 2, saya perlu ajukan soalan tambahan. Adakah semuanya halal? Jika ya, alhamdulillah. Jika tidak, itu yang yg saya sebut dengan ‘pertembungan’. Agama mahu anda berhenti dari perbelanjaan yang melibatkan dosa tetapi nafsu kata tidak.

Arahan Kerajaan baru-baru ini supaya bank menangguhkan kutipan ansuran rumah dan lain-lain adalah suatu tindakan yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya Kerajaan telah meringankan Perbelanjaan Tahap 1 dan Tahap 2 untuk rakyatnya.

Duit masuk

Bahagian ini panjang untuk saya hurai. Saya hanya akan ambil beberapa point penting untuk sembang kali ini. Pertama, ia ada kaitan dengan bahagian duit keluar tadi. Tidak salah minta bantuan daripada Kerajaan atau NGO jika anda memang layak.

Kedua, masih adakah duit masuk yang haram? Jika ya, itu yang saya sebut dengan ‘pertembungan’ antara angka dengan hukum. Nafsu memang suka tengok angka yang besar-besar. Tetapi apabila duit ‘masyuk’ disanggah oleh agama, nafsu biasanya mula meronta-ronta.

Jika anda percaya dengan istilah ‘berkat’ dalam rezeki, anda patut belajar berhenti. Bagi saya, ilmu bajet bukan sekadar ilmu kawal duit. Ia juga ilmu kawal nafsu. Jika anda tak pasti dengan kedudukan duit masuk anda, sila rujuk pakar di bidang kewangan Islam.

Duit baki

Macam saya sebut awal tadi, A (jumlah duit masuk) tolak B (jumlah duit keluar) bersamaan C (baki duit tunai). Sekarang lihat baki aliran tunai anda. Jika ada baki, terbaik. Jika ‘ngam-ngam’, cuba lagi. Jika negatif, awas anda sebenarnya berhutang. Topik ini akan saya hurai dalam sembang akan datang insyaAllah.

Selepas selesai kita bincang mengenai A-B=C, di bawah ini saya rangkumkan kesan hukum pada duit baki anda secara ringkas:

(i) A-B=C : Halal – Halal = Halal
(ii) A-B=C : Halal – Haram = Halal
(iii) A-B=C : Haram – Halal = Haram
(iv) A-B=C : Halal – (Haram dan Halal) = Halal
(v) A-B=C : (Halal dan Haram) – Halal = Syubhah

Hendak berubah? Orang yang berubah ke arah yang lebih baik tidak pernah rugi. Saya tinggalkan anda dengan petikan ayat al-Quran di bawah:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ َفَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

“Sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (demi agama Islam), nescaya ia akan dapati tempat hijrah yang banyak dan rezeki yang melimpah-ruah di muka bumi ini. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan hijrahnya), maka sesungguhnya pahala hijrahnya telah tetap di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(al-Nisa: 100)

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

Oleh: HASNAN AB – HARAKAHDAILY 20/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.