Covid-19: Kes harian terendah direkodkan hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa bilangan kes pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 98 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih dan discaj adalah sebanyak 3,295.

Ia bersamaan dengan 60.7 peratus kesembuhan dari jumlah keseluruhan kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 36 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan.

Advertisement

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,425 kes dari 113,055 individu yang telah disaring dan diuji bersamaan dengan 4.7 peratus.

“Ini merupakan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini. Oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Menurutnya, sehingga kini seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kes kematian terbaharu dilaporkan dan menjadikan jumlah kematian kekal 89 kes.- HARAKAHDAILY 20/4/2020