Iri hati hanya jadi beban di akhirat

IRI HATI dengan kebahagiaan dan rezeki orang lain adalah penyakit kronik, melainkan iri hati kepada kebaikan orang yang diikuti dengan usaha untuk berlumba berbuat baik.

Iri hati yang diikuti dengan khianat kepada orang lain adalah bala bencana yang akan berpatah balik menimpa diri sendiri, menjadi beban yang berat di akhirat kelak.

Tidak pernah ada orang yang kuat iri hati dan khianatnya kepada orang, mencapai kebahagiaan di atas sifat buruk itu, melainkan dia juga akan diselubungi keluh-kesah dan kepayahan. Sudahnya hanyalah sesalan.

Advertisement

Bersyukurlah dengan segala kurniaan Allah S.W.T kepada kita. Bertabahlah menghadapi ujian, berusaha dan berdoa semoga Allah beri kita keampunan dan maaf atas segala dosa salah silap kita.

Hati yang puas bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T, mengatasi keseronokan memiliki harta dan kelazatan dunia secara nyata, tapi jauh daripada mengingati Tuhan.

Cemas dan iri hati atas rezeki orang tidak akan mampu meraih kebahagiaan. Merepek ke sana sini kerana kita tidak mendapat apa yang orang dapat, sedangkan kita sudah punyai lebih daripada itu, hanya akan membenihkan barah.

Berubahlah hati berpaut pada Allah S.W.T walaupun tidak memiliki, ia lebih baik daripada mendapat itu dan ini tapi sarat dengan iri hati dan dengki.

Cubalah hadirkan bahagia dan lega di hati dengan sedikit kesenangan yang datang kepada saudara kita, kesenangan dia adalah kelapangan untuk kita juga.

Muhasabah untuk diri dari Madrasah Kehidupan Harian.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 20/4/2020