MOSTI sedia geran penyelidikan RM50,000 kepada UniSZA

KUALA NERUS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyediakan geran sebanyak RM50,000 bagi tujuan penyelidikan berkait dengan Covid-19, kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, geran penyelidikan itu bagi tujuan membangunkan sebuah sistem penilaian risiko Covid-19 secara dalam talian.

Advertisement

Menurutnya, sistem yang dibangunkan oleh pihak UniSZA itu dinamakan ‘Covid-19 Health Risk Assessment And Self Evaluation System’ (CHaSe).

“Aplikasi itu dibangunkan oleh penyelidik kita di UniSZA, yang melibatkan tenaga pakar. Ini ekoran apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) habis, dijangka akan berlaku pergerakan kembali pelajar dan sebagainya.

“Jadi kita perlukan aplikasi supaya keadaan ini terkawal bagi mengelakkan keadaan yang semakin pulih Covid-19 ini tidak menjadi kembali negatif disebabkan tidak adanya pergerakan yang sistematik.

“Ini antaranya aplikasi yang dibangunkan dan dibentangkan di MOSTI. Kita telah bincang di peringkat kementerian dan mendapati ini antara aplikasi yang sangat diperlukan. Oleh kerana itu, pihak MOSTI telah bersetuju dan telah menyerahkan geran penyelidikan sebanyak RM50,000 kepada UniSZA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem TanyaDoktor di Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Katanya, sistem itu menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) bagi mengesan dan mengurus risiko jangkitan Covid-19, dan buat permulaan ia akan dilaksanakan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UniSZA.

Sehubungan itu, kata Ahmad Amzad, pihak MOSTI memandang secara serius kepentingan mewujudkan segera sebuah pusat penyelidikan pembangunan vaksin bagi membolehkan vaksin dikeluarkan dalam negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyifatkan, pembangunan pusat penyelidikan itu dilihat sangat signifi bagi menghadapi cabaran penularan sesuatu penyakit berjangkit atau wabak pada masa akan datang selain Covid-19.

“Kita pernah ada makmal kajian biotek (bioteknologi) yang maju pada satu ketika dahulu, tetapi barangkali penumpuan tidak diberikan selama ini kerana tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi ini (Covid-19).

“Dari segi kepakaran pula kita (negara) mempunyai ramai pakar dalam bidang ini (biotek) di Malaysia. Cuma kita tidak boleh hendak katakan ia (vaksin) akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Ini kerana perlu difahami, untuk penghasilan satu-satu vaksin (ia) melibatkan proses yang panjang sehingga dua tahun, dan peruntukan mungkin melibatkan ratusan juta,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, apabila kerajaan melihat keadaan terkini dengan wabak Covid-19 yang melanda, keperluan ini menjadi signifikan untuk cabaran akan datang.

Menurutnya, sistem ini berteraskan gabungan Artificial Intelligence dan juga Business Intelligence sebagai platform.

Tambah beliau, idea asal pembangunan sistem ini adalah untuk diaplikasi kepada pelajar dan staf UniSZA tetapi ia berpotensi untuk dikembangkan di mana-mana institusi pengajian tinggi yang lain.

Sementara itu, aplikasi web TanyaDoktor.com yang dilancarkan hari ini membolehkan rakyat Terengganu khususnya, mendapatkan rundingan kesihatan dan pemakanan daripada pakar perubatan dan pakar pemakanan UniSZA secara percuma atas talian, tanpa perlu hadir ke klinik dan hospital.- HARAKAHDAILY 20/4/2020