Kerajaan S’gor perlu perancangan komprehensif urus hutan

KUALA LANGAT: Kegagalan Kerajaan Negeri Selangor (PH) untuk menguruskan ‘sekangkang kera’ hutan mengambarkan seolah-olah gagal untuk menguruskan hutan di Selangor.

Ia berikutan kejadian kebakaran di hutan simpan Kuala Langat seluas 35 hektar berlaku pada Mac lalu.

Kebakaran berulang di kawasan yang sama pada 18 April sebagaimana yang dilaporkan oleh Pengarah Jabatan Bomba, Norazam Khamis.

Manakala pada 20 April kawasan hutan yang sama juga terbakar seluas 15 hektar.

Advertisement

Mengulas kejadian itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi kesal dengan kebakaran yang berulang di tempat yang sama kerana ia bukan pertama kali berlaku tetapi masih gagal ditangani oleh kerajaan negeri.

Katanya, seolah-olah kerajaan membiarkan kebakaran terus berlaku dan tidak serius untuk menangani isu tersebut.

Beliau terkilan dengan laporan Exco Alam Sekitar Negeri Selangor yang mensyaki kebakaran itu berpunca daripada petani yang meneroka secara haram kawasan hutan simpan tersebut.

Dalam laporan itu dianggarkan 300 petani haram mengusahakan tanaman sayuran dan umbisi yang menjadi sumber utama kepada Selangor.

Kebakaran hutan simpan Kuala Langat.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Yunus mempersoalkan, kenapa peneroka itu masih terus meneroka dan bercucuk tanam.

“Adakah penguatkuasaan di negeri Selangor gagal atau tidak serius untuk menangani masalah tersebut?

“Benarkah kawasan ini masih dianggap menjadi sumber utama pengeluar sayuran untuk Selangor sehingga kita masih gagal menangani kebakaran?” Soalnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang terkilan dengan kenyataan exco yang mengatakan kerajaan negeri menghadapi kesukaran untuk mengekang kegiatan pertanian golongan berkenaan kerana mereka adalah antara pembekal makanan terbesar kepada penduduk Selangor.

Justeru tegas beliau, adakah kegagalan kerajaan negeri menangani kebakaran dan petani haram, dijadikan jalan mudah untuk kerajaan menyah warta hutan simpan dan membangunkan pembangunan bercampur.

“Saya masih lagi berasa kerajaan negeri harus mengambil tindakan serius di atas kejadian ini dan perlu bertindak secara rasional,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, mengekalkan hutan simpan Kuala Langat Utara harus menjadi cabaran kepada kerajaan negeri menunjukkan kemampuan menguruskan hutan seperti hutan Raja Muda Musa dan lain lain hutan di negeri Selangor.

“Usaha-usaha Program memulihara dan memulihara hutan ini harus diteruskan.”

“Kurang dari 100 hektar kawasan hutan dari keluasan asal (lebih dari 7000 hektar) harus terus dikekalkan kerana inilah Green Land Kuala langat utara,” katanya.

Beliau berharap penguatkuasaan harus di lakukan secara bersepadu bersama agensi-agensi yang berautoriti dan tindakan yang setimpal kepada pesalah harus di ambil.

Tegas beliau, kerajaan harus ada perancangan yang komprehensif utk menguruskan hutan simpan itu.- HARAKAHDAILY 21/4/2020