Kes turun, tiada kelonggaran perintah PKP – Menteri

KUALA LUMPUR: Tiada kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kes baharu positif Covid-19 direkodkan serendah 36 kes dan tiada rekod kematian seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian KKM, semalam.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan selagi PKP belum ditamatkan, peraturan SOP dalam PKP yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 akan terus dikekalkan.

“Saya harap selagi PKP tidak ditamatkan selagi tidak ada SOP yang baru diperkenalkan oleh kerajaan maka PKP yang ada SOP ataupun peraturan yang ada pada hari ini masih terus kekal.

“Dengan itu soal pematuhan kepada PKP masih menjadi tanggungjawab kepada semua dan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas kepada setiap individu yang melanggar PKP,” katanya yang juga Menteri Pertahanan dalam sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Beliau percaya ada permintaan dari rakyat yang mahukan kelonggaran PKP selepas berita baik perkembangan semasa Covid-19 berkaitan penurunan angka kes baharu positif Covid-19 dan tiada kematian direkodkan semalam.

Namun Ismail Sabri menegaskan kelonggaran terhadap PKP tidak akan diberikan, malah beliau mengambil iktibar dari sesetengah negara yang melalui fasa yang sama seperti Malaysia akhirnya terpaksa mengisytiharkan darurat akibat melonggarkan PKP.

“Jadi saya harap perkembangan yang baik ini boleh dijadikan perkara yang positif supaya kita bertindak dengan lebih tegas lagi untuk diri kita supaya terus mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan mematuhi setiap perintah di dalam PKP tersebut,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, sehingga semalam, PDRM dan ATM telah mengadakan sebanyak 824 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 603,314 kenderaan yang menunjukkan pertambahan kenderaan.

Sebanyak 52,380 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,127 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

PDRM telah menangkap 946 individu kerana ingkar PKP yang merangkumi 822 individu yang direman dan 124 individu yang diberikan jaminan polis.

Daripada 946 individu yang ditahan, 433 ditahan di zon merah kerana ingkar PKP.

Seramai 101 individu telah dihadapkan ke mahkamah semalam.

Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam (20 April) adalah seramai 16, 870 individu. – HARAKAHDAILY 21/4/2020