‘Muafakat’ dari kaca mata Ibnu Khaldun

LATAR belakang

(1) Kita masih membincangkan mengenai pemikiran Ibnu Khaldun di dalam karyanya iaitu المقدمة. Sebelum ini saya telah berkongsi idea Ibnu Khaldun mengenai kenegaraan dan kondusif.

Artikel kali ini pula saya berkongsi mengenai salah satu teori yang dikemukakan oleh beliau, iaitu ‘teori kemakmuran sejagat’ selaras dengan perbincangan sesama pada hari ini berkaitan kerjasama.

(2) Teori Ibnu Khaldun yang dikenali sebagai teori kemakmuran sejagat ini agak berbeza dengan konsep Madani yang dikemukakan oleh ahli Falsafah Yunani Kuno. Bahkan teori ini terbina di atas asas-asasnya yang tersendiri.

Kita boleh dapati bahawa ilmu mengenai kemakmuran sejagat ini belum dibincangkan oleh tokoh sebelumnya termasuk Aristotle. Seolah-olah tokoh falsafah sebelum ini terlepas pandangan.

Advertisement

(3) Bahkan teori ini muncul di saat kejatuhan Andalus dan Afrika Utara yang sarat dengan krisis politik dalaman, keruntuhan akhlak dan perpecahan di kalangan Umat Islam di Asia Barat.

Antara faktor perpecahan Umat Islam ketika itu ialah kewujudan firqah-firqah yang rata-rata terkesan dengan ideologi Parsi dan Yunani. Lalu beliau muncul dengan idea dan gagasannya sebagai satu solusi untuk membina kembali ketamadunan Islam.

(4) Elemen ‘kerjasama’ atau ‘muafakat’ dikaitkan dengan surah al-Hujurat ayat 13. Ia juga berkaitan dengan ‘Muafakat’. Menurut Ibnu Khaldun, muafakat adalah asas utama dalam menjadikan alam ini makmur.

Gagasan Ibnu Khaldun ini terbina di atas tiga asas perbincangan yang berkaitan antara satu sama lain, iaitu:

(a) Sejarah.
(b) Kerjasama masyarakat.
(c) Kemakmuran sejagat.

Kemakmuran sejagat

(1) Ibnu Khaldun mengatakan bahawa perbincangan mengenai ‘kerjasama masyarakat’ adalah perbahasan yang hampir sama dengan ‘sejarah’. Ini kerana maksudnya;

خبر عن الاجتماع الإنساني الذي هو عمران العالم

“Pengkhabaran (sejarah) mengenai kerjasama manusia itu adalah kemakmuran sejagat.”

(2) Teori kemakmuran sejagat ini disebut dengan عمران العالم di dalam Bahasa Arab. Ramai pengkaji Kitab المقدمة menghuraikan mengenai maksud teori ini. Antaranya Dr Muhammad ‘Abid al Jabri di dalam kitab فكر ابن خلدون العصبية والدولة:

“Suatu fenomena sosial yang digerakkan oleh sekumpulan masyarakat yang bekerjasama atau bermuafakat di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara yang berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi keperluan hidup yang selesa dan makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama dan akhlak serta hukum dan peraturan kejadian alam dan manusia ciptaan Allah S.W.T.” [1]

(3) Ibn Khaldun menghuraikan العمران البشري والاجتماع الإنساني mempunyai 3 asas utama;

(a) – الإنسان – البشر Manusia.

(b) – الإنسان – الاجتماع Iaitu kerjasama atau muafakat sesama manusia.

(c) – العمران البشري Kemakmuran sejagat.

Ibnu Khaldun mencetuskan idea bahawa kemakmuran sejagat terhasil daripada muafakat dan kerjasama sesama manusia melalui sejarah, sepertimana yang diceritakan tadi.

(4) Dalam menghuraikan teorinya ini, beliau mengemukakan contoh asal-usul manusia. Asal-usul manusia mesti dilihat daripada sejarah kemanusiaan. Dari situ, dapat lihat bagaimana asalnya manusia itu bersifat primitif, dan kemudiannya berkembang.

Perkembangan manusia itu hasil daripada kerjasama, melahirkan masyarakat ‘Badawi’. Kemudian skala kerjasama itu semakin luas, seterusnya melahirkan tamadun atau hadharah حضارة.

Hadharah الحضارة

(1) Hadharah حضارة dari sudut maknanya ialah manusia yang ramai, sama-sama ‘menghadiri’ atau berkumpul di satu tempat, dan saling memenuhi keperluan sesama mereka.

Di sinilah wujudnya muafakat atau kerjasama yang melahirkan ketamadunan. Contohnya peladang menternak lembu, memerlukan beras untuk makan nasi. Manakala pesawah pula memerlukan daging sebagai lauk. Maka wujudlah sistem muafakat itu.

(2) Antara yang diungkapkan oleh Ibnu Khaldun ialah tamadun itu bermula daripada Badawi, iaitu kumpulan manusia yang tinggal di padang pasir dalam skala yang kecil. Bahasa lainnya ketamadunan itu telah mengakhiri kehidupan primitif (padang pasir).

Bahasa mudahnya, sesebuah ketamadunan atau hadharah atau madani itu bermula daripada desa (perkampungan). Setelah berkembangnya skala kerjasama dan muafakat, akan terbinalah bandar.

(3) Apa yang diutarakan oleh Ibnu Khaldun mengenai teori kemakmuran sejagat ini adalah dari sudut kerjasama dan muafakat. Untuk membina tamadun yang hebat, perlu hidup dalam keadaan ini.

Hidup dalam keadaan saling memerlukan, dalam keadaan bantu membantu dengan kepelbagaian kepakaran dan kemahiran, dan hidup dalam keadaan berkongsi idea, saling bantu membantu.

(4) Ibnu Khaldun juga turut menggambarkan suasana Badawi sebelum terbentuknya madani (bandar). Orang-orang Badawi mereka lebih fokus kepada hidup untuk sara diri. Tidak berlebihan, tidak tamak.

Berbeza dengan kehidupan bandar yang lebih mewah, kesenangan, lebih banyak kemudahan. Ini akan menjadikan orang bandar itu dijangkiti penyakit sombong, tamak dan sebagainya.

Keruntuhan tamadun

(1) Beliau menyatakan bahawa jika manusia yang hidup di bandar itu terikut dengan sifat sombong, tamak, dengki dan sebagainya, menyebabkan ketamadunan itu semakin lesu dan pancit. Tamadun menjadi lemah.

Tamadun yang berada dalam situasi ini perlu diubati dengan segera dengan membina kembali nilai-nilai kemanusiaan, supaya hidup dalam keadaan harmoni. Jika tidak, sikap-sikap tadi mendatangkan kesan negatif, lantas menyebabkan keruntuhan tamadun.

(2) Apa yang diutarakan oleh Ibnu Khaldun ialah keruntuhan tamadun itu bukanlah semata-mata kerana negara tiada duit atau tiada ekonomi. Akan tetapi punca utamanya ialah keruntuhan akhlak atau moral.

Bahasa mudahnya, tamadun yang baik, adalah tamadun yang bermoral. Bahkan beliau meletakkan akhlak itu sebagai elemen tertinggi dalam pembinaan tamadun, manakala yang keduanya barulah ekonomi.

(3) Akhlak menjadi keutamaan dalam pembinaan tamadun kerana akhlak adalah nilai. Sesuatu itu diukur dengan nilainya. Ibnu Khaldun meletakkan neraca akhlak itu pada aqidah dan keimanan yang merupakan pegangan masyarakat.

Kita dapat libat bahawa keimanan ini bersangkutan dengan ideologi. Ideologi ataupun soal kepercayaan. Masyarakat terdahulu yang saya kongsikan tadi, runtuh kerana kepercayaan dan ideologi mereka tersimpang.

(4) Kita boleh lihat bentuk bentuk penyimpangan ideologi apabila bangsa-bangsa terdahulu mengambil sikap Polytheism, Materialism, dan ada yang Athiesm. Tamadun Babylon yang cukup gemilang satu ketika dahulu, runtuh disebabkan ideologi mereka.

Contoh yang mudah realiti hari ini. Apabila wujudnya masyarakat yang tidak percaya kepada kebangkitan semula di akhirat, mereka akan sewenang-wenangnya melakukan kejahatan, rembat hak orang dan sebagainya.

Penyimpangan ideologi

(1) Hal ini kita dapat lihat sendiri bagaimana al-Quran menceritakan betapa kehancuran tamadun-tamadun terdahulu disebabkan kejahatan yang mereka lakukan. Hidup dalam keadaan bertuhankan batu.

Hidup dalam keadaan bunuh membunuh, hidup dalam suasana yang tidak normal seperti Kaum Nabi Lut A.S, dan sebagainya. Ini menyebabkan tamadun besar seperti Bandar Iram dan Bandar Aikah runtuh.

(2) Allah S.W.T menceritakan di dalam al-Quran Surah Yunus ayat 13;

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِن قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا ۙ وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

“Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.”

(3) Sebab itulah dalam teori kemakmuran sejagat ini, kita perlu lihat tidak semata-mata unsur kerjasama atau muafakat sahaja. Akan tetapi muafakat tersebut perlulah terbina atas akhlak (moral) yang berteraskan aqidah yang betul.

Contoh yang lain, kita boleh lihat fahaman Liberalism yang muncul menyeru kepada kebebasan yang liar. Mereka mendakwa, masyarakat perlu diberikan hak itu dan ini. Ini menyebabkan keruntuhan moral, dan boleh membawa kepada keruntuhan tamadun.

(4) Ideologi-ideologi Barat yang muncul di era Reinassance pada mulanya muncul atas dasar mengajak manusia untuk memaksimumkan penggunaan akal, dan tidak terkongkong dengan mana-mana kuasa.

Namun, setelah mereka bangkit menjatuhkan pemerintahan bergereja, kebebasan mereka befikir itu tidak dikawal. Di situlah punca kepada peperangan demi peperangan, manusia hidup saling ‘meruntuhkan’ antara satu sama lain.

[1] Personal message (pm) saya untuk dapatkan pdf فكر ابن خلدون العصبية والدولة setebal 300 halaman.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/4/2020