PKP antara faktor penurunan kes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dan kedua kini memasuki fasa ketiga antara faktor penurunan jumlah kes positif jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

“Melihat penurunan kes positif Covid-19 kebelakangan ini sangat memberangsangkan dan saya percaya ia hasil daripada perancangan dan tindakan kita (rakyat) selama tempoh 4 minggu yang lepas,” katanya.

Advertisement

Menurutnya, kejayaan ini juga hasil tindakan kerajaan melaksanakan kawalan sempadan dan sekatan kemasukan pelancong asing ke dalam negara menyebabkan kes import juga dapat dikurangkan.

“Bagi warga negara Malaysia yang pulang dari luar negara terpaksa kita terima mereka. Pada mulanya mereka ini dikuarantin di rumah, sekarang kita kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.

“Hasil tindakan itu kita berjaya mengesan 95 kes positif dan kalau kita biarkan mungkin mereka akan menjangkiti lebih ramai,” ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, perlaksanaan PKP juga dapat mengurangkan jangkitan di kawasan komuniti dengan kebarangkalian jangkitan berkurangan apabila masyarakat mengambil langkah berada di rumah.

Kesinambungan pelaksanaan PKP ketiga menyaksikan kes harian jangkitan setempat kini kurang dari 100 kes.

“Kalau boleh kekal momentum sekarang ini dengan kerjasama semua pihak, mungkin dalam seminggu kita dapat kurang dari 10 kes. Itu antara sasaran KKM.

“Ia tidak mustahil sekiranya kita dapat pertingkatkan lagi tindakan dengan duduk di rumah,” jelasnya lagi.- HARAKAHDAILY 21/4/2020