Usah kongsi isu tidak benar di media sosial

KOTA BHARU: Golongan belia diharap tidak meluahkan perasaan tidak puas hati di media sosial lebih-lebih lagi melibatkan perkara kurang berasas.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, ada pihak
meluahkan rasa tidak puas hati untuk dikongsi dengan orang ramai.

Katanya, keadaan menjadi sebaliknya apabila isu yang diluah di media sosial tidak benar sehingga menjejaskan nama baik pihak lain.

Advertisement

“Lebih baik kita memanfaatkan teknologi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan perkara berfaedah.

“Sebagai contoh jualan secara online mahupun berkongsi perkara positif bagi membantu menaikkan semangat anggota masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Seorang pemuda hari ini tampil memohon maaf setelah menyedari isu yang diviralkan tidak berasas.

Sebelum itu beliau mempertikaikan jumlah penutup muka yang diagihkan kerana berdasarkan pengumuman kerajaan setiap rumah akan mendapat empat keping tetapi dia mendakwa hanya menerima tiga.

Perkara tersebut tular di media sosial sehingga Penghulu DUN Pengkalan Kubor Tumpat, Roshdi Ramli membuat laporan polis 15 April lalu kerana dakwaan pemuda itu menjejaskan nama baik penghulu dan kerajaan negeri.

Sedangkan berdasar notis Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pihaknya menerima penutup muka dan hidung daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara dan membuat pembungkusan kepada tiga keping untuk setiap isi rumah.– HARAKAHDAILY 21/4/2020