Bulan perjuangan menuju kemenangan

SEGALA puji bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W serta ahli keluarga, serta seluruh sahabat-sahabatnya.

Bulan Ramadan kini tiba. Walaupun ketibaannya tidak seperti tahun-tahun yang lalu, namun ia tetap datang dengan ketentuan dan perintah dari Allah jua. Anak bulannya telah timbul lagi di langit dunia. Rahmat dan keberkatannya menggetarkan hati orang-orang yang beriman. Kenangan dan kemenangan dalam sejarahnya mengusik jiwa para pendakwah dan pejuang agama Allah S.W.T. Puasa dan qiamullail padanya menggerakkan anggota badan para hamba yang bersifat rabbani.

Maka, apakah lagi yang kita perlu lakukan melainkan mencari erti keimanan, keikhlasan dan takwa daripada bulan yang mulia ini, di samping menuntut ilmu kesabaran dan tarbiah daripada madrasahnya. Kita berazam dengan nama Allah S.W.T supaya dapat menjejak langkah di jalan yang telah diatur olehnya dan digariskan panduannya oleh junjungan agung kita Nabi Muhammad S.A.W.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ …

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”

[al-Baqarah: 185 ]

Semoga jiwa kita meningkat ke puncak kesucian, dan diri kita pula terangkat daripada ruang lingkup kebendaan dan syahwat. Semoga kita bersih daripada dosa-dosa kita seumpama hari kita dilahirkan. Semoga kita kembali ke jalan agama yang murni ini sepenuhnya, Islam yang sebenar menelusuri jalan perjuangan dan kemenangan dengan iman yang lebih kuat, keyakinan yang lebih mantap, keazaman yang lebih konsisten dan langkah yang lebih teguh sehingga kita mencapai matlamat menegakkan ajaran Islam dan merealisasikan keagungan umat Islam dengan izin Allah S.W.T!

Antara puasa dan perjuangan menentang hawa nafsu

Mujahadah lebih teruji dalam puasa berbanding ibadah-ibadah lain. Kita teringin mahu makan tetapi tidak pula makan, kita dahaga dan ternampak air tetapi tidak pula minum, dan kita berjuang menentang hawa nafsu sendiri; demi mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Barangsiapa mampu menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa sepanjang siang, maka dia mampu menahan diri daripada segala perkara yang diharamkan sepanjang malam. Lalu dia pastinya mampu meninggalkan maksiat di luar bulan Ramadan. Inilah mujahadah.

Terdapat banyak siaran radio, rancangan televisyen dan media sosial yang menjadi medan Iblis serta tenteranya para syaitan di kalangan jin dan manusia. Mujahadah yang kuat sangat diperlukan bagi menolak kejahatan seumpama itu daripada diri kita. Perjuangan tersebut adalah dengan cara menentang dan tidak pula menerimanya, serta memelihara diri, rumah tangga dan anak-anak kita daripadanya.

Semoga Allah S.W.T membimbing tangan kita ke arah kebajikan dan ketakwaan, memperbaiki hati dan amalan kita, menunjukkan kepada kita jalan yang lurus, serta menolong kita menentang diri sendiri, hawa nafsu dan para syaitan di kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya Allah S.W.T jualah yang Maha Berkuasa.

Peristiwa kemenangan di bulan Ramadan dalam lipatan sejarah Islam

(1) Perang Badar (17 Ramadan 2 Hijrah).

Allah S.W.T memisahkan golongan yang benar beriman daripada golongan Musyrikin yang batil pada hari tersebut. Panji iman telah dijulang dengan kemenangan pertama buat Islam di Semenanjung Tanah Arab ini.

Pada peperangan ini, keimanan para Sahabat R.A telah bersinar terang disertai dengan keteguhan mereka yang jitu, lalu Allah S.W.T menolong mereka mencapai kemenangan dengan keberkatan bulan Ramadan, walaupun bilangan mereka adalah sedikit dan kekurangan alat perang. Para malaikat yang diutus oleh Allah S.W.T telah memecah belahkan kekuatan musuh Islam dan mengalahkan mereka dengan penuh kehinaan.

Firman Allah S.W.T:

وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٢٣

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

[ali-‘Imran: 123]

(2) Pembukaan Kota Makkah (11 Ramadan 8 Hijrah).

Pada bulan inilah seluruh berhala Jahiliyyah hancur berkecai menyembah bumi, dipijak dan dihina dengan telapak kaki manusia.

Buat kali pertama dalam sejarah, Bilal ibn Rabah R.A memanjat Kaabah untuk melaungkan kalimah tauhid sehingga bergema di ufuk Kota Makkah yang menandakan kekalahan para pembesar Musyrikin, kemenangan buat Islam dan kepimpinan ummah di tangan Nabi S.A.W.

(3) Peperangan al-Qadisiyyah (14/15 Hijrah).

Peperangan di zaman itu benar-benar memisahkan antara orang-orang Islam dan Parsi. Ianya dipimpin oleh Sa’ad ibn Abi Waqqas R.A semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab R.A.

Tentera musuh ketika itu menunggang gajah dan menakutkan kuda tentera Islam, tetapi para pahlawan Islam berjaya mengikat gajah musuh dan mencederakannya sehingga haiwan tersebut lari memijak orang-orang yang menunggangnya. Umat Islam menang besar pada peperangan tersebut.

(4) Pembukaan negeri Andalus (92 Hijrah).

Panglima Toriq ibn Ziyad memimpin 12,000 orang tentera yang majoritinya berbangsa Arab dan Barbar. Mereka berjaya mengalahkan tentera al-Qut dalam peperangan itu.

(5) Peperangan Ain Jalut (658 Hijrah).

Peperangan antara Tatar dan orang-orang Islam yang dipimpin oleh Sultan Mesir Saifuddin Qutuz. Dengan ucapan baginda sendiri yang turun ke medan perang, para tentera bertambah semangat sehingga berjaya mengalahkan tentera musuh yang telah menggoncangkan keteguhan umat Islam sebelum itu.

(6) Perang 6 Oktober 1973 Arab-Israel (10 Ramadan 1393 Hijrah).

Peperangan antara gabungan Mesir dan Syria menentang Israel pada sambutan perayaan Yom Kippur, iaitu hari yang paling suci dalam agama Yahudi.

Tentera Israel kurang persediaan ketika itu, namun mereka berjaya melancarkan serangan balas sehingga mencapai matlamat politik yang lebih menguntungkan politik Israel dengan termeterainya Perjanjian Camp David. Walau bagaimanapun, Mesir tetap berjaya merampas semula sebahagian kawasan Sinai daripada Israel dalam peperangan itu.

Apabila kita ketahui bahawa sejarah Ramadan menghimpunkan antara ibadah, perjuangan dan kemenangan, maka bergeraklah di medan amal dan perjuangan agar dapat melaksanakan tanggungjawab besar dalam menegakkan keagungan negara dan ajaran Islam.

Ini tidak akan terjadi melainkan dengan menghimpunkan antara ibadah dan perjuangan, antara tilawah al-Quran dan mata pedang, antara penyucian jiwa dan kekuatan tubuh, antara agama dan politik. Oleh itu, kita telahpun mengambil faktor-faktor kejayaan, penyebab keagungan dan kelangsungan Islam. Maka ketika itu Allah S.W.T akan memberi kemenangan yang nyata, kejayaan yang agung serta mengangkat darjat umat Islam di dunia dan akhirat.

Firman Allah S.W.T;

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

[an-Nur: 55]

Muhasabah (Refleksi diri)

Menyedihkan sekali apabila kefahaman ini disalah ertikan oleh orang-orang Islam hari ini. Bulan Ramadan yang dahulunya merupakan bulan perjuangan, amal dan pengorbanan, kini menjadi bulan untuk bermalas-malasan, bercuti serta berlebih-lebihan tidur dan makan. Konsep yang berlawanan ini adalah berbahaya untuk masa depan Islam, maka ianya wajib diperbetulkan agar umat Islam dapat menghayati Ramadan sebagaimana Nabi S.A.W dan para ulamak terdahulu menghidupkannya dengan jihad, ibadah, amal dan pengorbanan.

Perjuangan kita terhadap diri sendiri dan hawa nafsu di bulan Ramadan menunjukkan kemampuan kita untuk bermujahadah. Oleh itu, mengapa kita tidak istiqamah sehingga ditetapkan hidayah untuk kita dan kita pula mencapai tahap keikhlasan yang merupakan hasil daripada mujahadah yang sebenar?!

Andainya kita lemah, maka kita telah memastikan kita tewas dengan diri sendiri dan kemenangan buat nafsu dan syaitan. Inilah sebab utama kelemahan dan kehinaan kita; kerana jumlah kekalahan setiap seorang daripada kita telah terhimpun, lalu membentuk umat yang tidak lagi bernilai, umpama buih-buih di lautan. Sabda Nabi S.A.W;

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالعينَةِ … وَتَرَكْتُمُ الْجِهَادَ، سلطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلًّا لَا يَنْزِعُهُ حَتَّى تَرْجِعُوا إِلَى دِينِكُمْ

“Apabila kamu saling berjual beli dengan helah riba’ … dan kamu meninggalkan jihad (perjuangan), Allah S.W.T akan menghukum kamu dengan kehinaan yang Dia tidak akan mencabutnya sehinggalah kamu kembali kepada agamamu.”

Kesimpulan

Bulan Ramadan adalah bulan perjuangan menuju kemenangan, kita mestilah berazam dengan nama Allah S.W.T supaya dapat merealisasikan matlamat Ramadan, mempelajari erti takwa dan perjuangan, kesabaran, azam dan kekuatan, agar kita mampu melaksanakan tanggungjawab kita bersama membangun ummah dengan Islam.

Dengan izin Allah S.W.T, wabak COVID-19 yang melanda ummah sekarang ini akan berakhir, teruskan taqarrub kita kepada-Nya. Zaman kemenangan dan kegemilangan ummah akan kembali sekiranya kita memperbaiki amalan kita, berjuang membantu Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W di atas manhaj agama Islam yang lurus, sebagaimana firman Allah S.W.T;

… وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“…dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa, iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

[al-Hajj: 40 – 41]

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang benar-benar berpuasa lagi diterima di sisimu, dengan rahmat dan keberkatan bulan Ramadan. Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita semua, amin;

والله أعلم بالصواب

USTAZ HAJI KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Naib Ketua DUPP
Timbalan Ketua DUPNJ
YDP PAS Tebrau – HARAKAHDAILY 22/4/2020

Sumber dan Rujukan:
Abdullah Nasih Ulwan. Fadhail Ramadhan Wa Ahkamuh. Cetakan ketiga (1983). Darul Salam: Kaherah, Mesir.
Dr Roghib as-Serjani. Al-Mausu’ah al-Muyassaroh Fit Tarikh al-Islami. Jilid pertama. Cetakan ke-32 (2014). Muassasah Iqra’: Kaherah, Mesir.
https://en.m.wikipedia.org/wiki/Yom_Kippur_War