Manfaat PKP tingkat takwa sempena Ramadan

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakub ketika sidang media selepas mesyuarat exco di JKR 10. Foto: RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berharap rakyat di negeri itu dapat meningkatkan amalan sempena Ramadan tahun ini.

Katanya, walaupun Ramadan disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun diharap rakyat dapat meningkatkan amalan yang lebih baik.

“Sambutlah kedatangan Ramadan tahun ini dengan penuh kesyukuran dan ketaqwaan di samping tingkatkan amal ibadah.

Advertisement

“Banyak perkara yang dapat kita lakukan sepanjang Ramadan antaranya membaca al Quran, menyemak ilmu-ilmu agama agar dapat dimanfaatkan,” ujarnya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di JKR 10 di sini hari ini.

Katanya juga amalan bersedekah sewajarnya dilakukan pada bulan berkenaan walaupun dalam tempoh PKP dengan membantu jiran sebelah rumah bagi mengeratkan lagi hubungan.

Sepanjang PKP berkuatkuasa, kerajaan negeri sebelum ini turut memaklumkan penutupan seluruh masjid dan surau di negeri itu sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Rakyat Kelantan diminta untuk menunaikan solat sunat terawih di rumah masing-masing bersama keluarga.- HARAKAHDAILY 22/4/2020