Nikah: Tiada ‘atas talian’, tapi perkemas tatacara

IPOH: Tiada pernikahan secara atas talian akan dilaksanakan di negeri Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi majlis akad masih dibenarkan mengikut tatacara baharu yang mula dikuatkuasakan hari ini.

Advertisement

EXCO Agama dan Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin memaklumkan, kebenaran nikah atas talian memerlukan keputusan Jawatankuasa Fatwa Perak dengan perkenan Sultan Perak.

Jelas beliau, setakat ini proses nikah di Perak tertakluk kepada tatacara dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang hanya membenarkan majlis akad nikah diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Terang beliau, tatacara tersebut menetapkan semua pihak perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dinyatakan dalam Proses Tindakan Kerja Tatacara Versi 2.0 Majlis Akad Nikah Negeri Perak.

Dimaklumkan, antara terkandung dalam perkara tersebut melibatkan keutamaan diberi kepada bakal pasangan pengantin yang telah mendapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah.

Majlis akad nikah juga berlangsung di bilik khas bersesuaian disamping mematuhi jarak 1 meter pergerakan pintu masuk dan keluar antara pihak-pihak, begitu juga pelan susun atur kedudukan semua yang terlibat.

Majlis akad nikah juga dinyatakan hanya boleh dilaksanakan tiga hari seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja iaitu sebanyak tiga sesi bagi setiap hari mengikut jadual waktu Tatacara Versi 2.0.

Tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah juga ditetapan tidak melebihi 30 minit yang hanya boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua orang saksi, seorang pengantin lelaki dan perempuan, serta seorang wali dari pihak pengantin perempuan.

Selain itu maklum Ustaz Akmal, Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPk juga memberikan perkhidmatan nasihat dan pertanyaan secara talian berkenaan nikah, cerai dan rujuk, sokongan keluarga dan rundingcara keluarga.

Katanya, waktu perkhidmatan atas talian tersebut iaitu dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari. – HARAKAHDAILY 22/4/2020