Rentas negeri perlu kebenaran polis – Menteri

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berada di kampung berkeinginan untuk pulang ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan kepada pihak polis bermula 25 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai boleh mula membuat permohonan kepada pihak polis secara atas talian melalui aplikasi Gerak Malaysia.

“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, melalui aplikasi Gerak Malaysia yang mana ini kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mulai 25 April nanti.

Advertisement

“Mereka perlu mengemukakan maklumat seperti nama dan jumlah keluarga yang ingin pulang serta perlu maklum dari kampung mana untuk mudah bandingkan mereka dari kawasan merah, hijau atau kuning.

“Bagi yang tidak mempunyai telefon untuk membuat pendaftaran secara atas talian boleh membuat permohonan di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media harian sebentar tadi.

Bagaimanapun katanya, perkara ini masih dalam peringkat kajian dengan perlu mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelas Ismail Sabri, setakat ini pihaknya masih lagi meneliti dengan menunggu permohonan awal sebelum kebenaran diberikan yang dijangkakan pergerakan bermula 1 Mei ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) tertentu akan dirancang selepas mendapat keputusannya nanti.- HARAKAHDAILY 22/4/2020